Syukur Alhamdulillah, Tengku Permaisuri Selangor Berkenan Hadiahkan Motosikal Baru

Kisah seorang penghantar makanan Food Panda yang kehilangan motosikalnya ketika sedang mengambil pesanan makanan tular di media sosial.

Perkongsian mengenai kes tersebut mendapat perhatian ramai termasuk DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Tengku Permaisuri Selangor beri sumbangan motosikal 

Baginda berkenan menyampaikan sumbangan peribadi iaitu sebuah motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff yang ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika melakukan kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor, Rabu lalu.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang menimpa Nur Athirah.

Athirah menyara keluarga dengan penghantaran makanan sepenuh masa

Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Difahamkan, Nur Athirah adalah anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves kini bertindak sebagai penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.

Baginda berharap Athirah dapat meneruskan kerja dan membantu keluarga

Menurut kenyataan itu lagi, Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan berkenaan, Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.

Titah baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, baginda amat berharap masyarakat di luar sana lebih bersifat berperikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.

Selain itu, baginda turut mendoakan sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.

Motosikalnya hilang ketika sedang mencari rezeki

Terdahulu, motosikal Yamaha 135LC milik Mur Athirah dengan nombor plat BQF2182 hilang di depan pasar raya Batu Caves.

Jelas Nur Athirah, dia ke pasar raya itu pada jam 1.30 petang untuk mengambil makanan yang dipesan pelanggan dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.

“Apabila kembali ke kawasan parkir tidak sampai 10 minit, saya dapati motosikal sudah tiada sebelum diberitahu ia dicuri,” katanya.

Semoga lebih ramai lagi individu yang tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.