Suami Isteri Selalu Hantar Barang Bersama Rentung Dalam Lori Kontena

Sebanyak 3.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula hujung minggu ini.

Iospital phone repair gombak

Susulan itu, semua diminta untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

Namun, malang tidak berbau. Semalam, kita dikejutkan berita menyayat hati dengan kembalinya sepasang suami isteri ke rahmatullah gara-gara nahas lori kontena berhampiran susur masuk Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah.

Kejadian jam 8.40 pagi di di kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) itu telah mengakibatkan kesesakan lebih 10 kilometer berikutan 4 lorong jalan terpaksa ditutup.

Lori kontena yang membawa muatan barang lusuh dan plastik itu dipercayai gagal dikawal, sebelum melanggar penghadang jalan.

Susulan itu, pemandu (Mazlan Molot), 48 dan isteri (Fauziah Uyop) 40-an dilaporkan tersepit di tempat duduk masing-masing.

Mazlan rentung dalam kebakaran bersama isterinya yang sering dibawa bersama untuk menghantar barangan.

Menurut ibu Mazlan, Mariam Kassim, 69, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Ketika itu dia pulang ke rumah di Felda Palong 2, Jempol. Dia ada berikan duit kepada saya dan anak-anak saudaranya. Dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap.

“Saya tahu dia sering bawa isterinya ke mana-mana kerana isterinya tidak bekerja dan dapat menemani dia menghantar barangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Mariam menjelaskan lagi, anak keduanya itu sudah berkahwin selama 12 tahun, namun masih belum dikurniakan zuriat.

“Isterinya sebelum ini menjadi pengasuh kanak-kanak, namun berhenti kerja dan sering mengikuti Mazlan menaiki treler untuk menghantar barangan,” katanya lagi.

Sementara itu, abang mangsa, Yaakob Molot, 51, yang juga seorang pemandu lori memaklumkan pihak syarikat tempat adiknya bekerja ada menghubungi bagi memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Saya dimaklumkan dia baharu bekerja di syarikat treler tersebut yang menghantar barangan kitar semula. Kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi,” katanya lagi.

Yaakob memaklumkan, pihak hospital akan mengambil sampel DNA ahli keluarga bagi mengesahkan identiti kedua-dua mangsa.

“Tidak tahu sama ada hari ini atau esok baharu boleh membawa pulang jenazah. Jenazah dijangka dikebumikan selepas keputusan di Kampung Sungai Siput, Lubuk China, Melaka,” katanya.