[VIDEO] “Tolong mak, tolong..” Sempat Call Sebelum Maut Terbakar, Anak Sedih Tak Dapat Selamatkan Ibu

Tidak dapat dibayangkan bagaimana pedihnya perasaan seorang anak apabila mendengar jeritan si ibu yang meminta tolong akibat terperangkap dalam kebakaran di rumahnya.

Malah, lebih menyayat hati apabila mendapat tahu si ibu tidak dapat diselamatkan daripada insiden yang berlaku dengan pantas itu.

“Tolong mak, tolong mak,”

Itulah kata-kata terakhir yang sempat didengari seorang anak daripada ibunya sebelum warga emas itu ditemukan rentung.

Foto: Bernama

Insiden itu dilaporkan berlaku dalam satu kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Kampung Losong Haji Su, di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira jam 10.35 pagi, mangsa, Fatimah Mohd, 79, maut selepas terperangkap manakala suaminya, Jusoh Muda, 82, yang melecur kira-kira 30 peratus di bahagian kaki dan belakang badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Foto: Bernama

Menceritakan kejadian itu, Zailah Jusoh, 47, yang berada di rumahnya di Kampung Kubang Tangga, di sini menerima panggilan daripada ibunya jam 10.37 pagi yang meminta tolong.

“Mak telefon dan berulang kali minta tolong tetapi tidak bagi tahu apa yang terjadi sebelum memintanya bersabar sementara saya bersiap.

“Pada mulanya, saya ingatkan ayah yang jatuh atau tak sedar kerana kebiasaannya jika mak yang kurang sihat, ayah yang akan telefon dan begitu juga sebaliknya.

“Saya juga sempat menyuruh anak menghubungi suami yang ketika itu berada di luar untuk ke rumah mereka terlebih dahulu sementara saya dan anak bersiap.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, adik menghubungi saya memaklumkan rumah yang diduduki mak dan ayah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zailah berkata, dia tidak putus-putus berdoa dan berharap tiada kejadian buruk menimpa orang tuanya memandangkan kedua-duanya sudah uzur.

“Sepanjang perjalanan itu memang berdebar kerana memikirkan keadaan mereka dan sebaik sampai, ayah selamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Namun, luluh hati saya apabila dimaklumkan mak masih berada di dalam,” katanya.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.