Semalam telah berlangsung satu pementasan Kesuma Jiwa di Istana Budaya oleh pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim.

Beberapa artis tersohor tanah air seperti Dayang Norfaizah turut terlibat menjayakan pementasan fesyen itu.

Walau bagaimanapun, sebelum pementasan Kesuma Jiwa melabuhkan tirai, Datuk Rizalman telah membuat satu kejutan dengan satu pengumuman.

Bersara dari dunia rekaan fesyen

Dengan nada yang sebak, Rizalman telah mengumumkan pengunduran dirinya dan bersara dari dunia rekaan fesyen.

https://www.facebook.com/557058398109931/videos/1573383902816799/

Datuk Rizalman akan menyerahkan empayar jenama Rizalman kepada pembantunya yang setia mendampinginya selama 15 tahun iaitu Faizul Surani.

Menurut laporan dari Astro Awani, Rizalman bimbang tidak bersedia untuk mengadap Yang Maha Esa menjadi pendorong utamanya membuat keputusan bersara sebagai pereka fesyen.

Malah ikon fesyen tanah air itu memberitahu, ketika masih mempunyai kudrat dan diberi peluang untuk bernafas, beliau mahu melakukan persediaan yang secukupnya sebagai bekalan di hari kemudian.

Pemergian rakan-rakan artis

Berusia 49 tahun, Datuk Rizalman mengatakan berita pemergian rakan-rakan industri seni pada usia yang muda turut menjentik keinsafan pada diri beliau.

Tegasnya, kematian beberapa teman membuatnya terkesan.

“Kematian beberapa teman membuatkan saya terkesan dan terfikir bahawa Allah boleh saja mengambil nyawa kita pada bila-bila masa.”

Rizalman juga mahu ‘pergi’ dalam keadaan bersedia apabila dijemput Ilahi kelak.

“Saya takut tidak bersedia apabila dijemput oleh Allah. Saya mahu pergi dalam keadaan bersedia.”

Biodata Datuk Rizalman Ibrahim

Menerusi perkongsian artikel dari Iluminasi, pemilik nama Rizalman Ibrahim ini lahir pada 28 Oktober 1971 dan merupakan anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Lukis Dan Seni Reka (Fesyen) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Datuk Rizalman mula bergiat sebagai pereka fesyen, pereka hiasan dalaman, pengurus majlis, pengatur perkahwinan dan personaliti televisyen.

Beliau memulakan jenama sendiri atas nama ‘Rizalman Ibrahim’ pada tahun 1995 dan kini bergelar pemilik Glam Casa, Glam Reka, Glam Weddings dan The RI Maison by Rizalman.

Hasil penat lelah beliau selama ini, Rizalman telah menerima anugerah Mercedes-Benz Asian Fashion Award di Anugerah Fesyen Antarabangsa-Malaysia 2004 (MIFA 2004), Style Star Of The Year Award 2008 dan Mercedez Benz Stylo Award.

Pengumuman disambut teriakan

Pengumuman Rizalman untuk bersara telah disambut dengan teriakan oleh penonton Kesuma Jiwa yang menjadi persembahan pertunjukan fesyen terakhir beliau.

Di antara jemputan kehormat pertunjukan itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Rizalman yang belum mendirikan rumah tangga mempunyai dua orang anak angkat iaitu Umar Nail dan Ali Nail.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.