“Satu hari satu lauk” Hasrat Berniaga Bazar Ramadhan Terbatal, Lelaki Ini Bangkit Semula Jual Menu Sahur Dengan Harga RM6

Seperti yang kita sedia maklum, juadah berbuka puasa yang kebiasaannya dijual di bazar Ramadhan merupakan salah satu perniagaan yang laris dan baik dijalankan pada bulan ini.

Iospital phone repair gombak

Bagaimanapun berbeza dengan seorang peniaga ini, Harith Hamzah Badarol Sam,30, yang lebih memilih untuk menjual makanan untuk dibuat sahur kepada orang ramai.

Memetik laporan MStar, idea Harith untuk memulakan perniagaan makanan pada awal pagi adalah untuk mengelakkan persaingan dengan peniaga-peniaga yang lain.

“Selain itu saya boleh mengawal penawaran dan permintaan.

“Jalan pun lapang dan tak sesak dengan kereta lalu-lalang. Lancar sahaja proses nak berniaga tu,” katanya.

Dikatakan pada mulanya dia mahu sahaja menyewa tapak di bazar Ramadhan untuk bisnes nasi lauknya itu, akan tetapi niatnya terpaksa dibatalkan dek kekangan modal.

Apa pun, Harith tetap bersyukur kerana keputusannya untuk berniaga pada awal pagi secara tidak langsung mampu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli makanan mengenyangkan pada harga murah.

Difahamkan pada hari kedua (23 Mac), dia menjual set nasi berlauk bersama sayur dengan harga RM 6 sebungkus di hadapan Shamelin Star Residence di Cheras, Kuala Lumpur.

Harith memulakan operasi perniagaannya seawal jam 2 pagi dan mula menyiapkan segala persiapan memasak pada pukul 10 malam.

“Target market saya memang untuk pelajar-pelajar (Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM) disebabkan situasi ekonomi yang tak menentu sekarang ni.

“Jadi saya kategorikan menu saya ni sebagai menu bujang. Pernah juga ada pelajar cakap apabila mereka membeli dengan saya, terasa macam makan dengan keluarga dekat rumah,” ujar Harith.

Setelah hampir seminggu berniaga, dia bersyukur kerana perniagaannya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan pada setiap hari.

Harith turut menjelaskan bahawa dia akan menjual lauk yang berbeza untuk setiap hari agar pelanggan tidak berasa bosan untuk terus membeli makanan sahur daripadanya.

“Sehari saya akan buat 40 set nasi. Satu hari satu jenis lauk dan sayur-sayuran. Setakat saya berniaga ni Alhamdulillah semua makanan habis sebelum selesai waktu sahur. Selain kawan-kawan, keluarga pun banyak bantu promosikan bisnes saya.

“Perniagaan ni dibantu oleh kakak dan kekasih saya. Ada juga kawan-kawan yang merupakan pelajar UPTM Cheras aktif buat COD (cash on delivery) makanan dekat kawasan kolej,” jelasnya.

Harith sebenarnya seorang cef masakan barat, dan dia turut menyatakan bahawa dia tidak meletakkan sasaran tinggi namun mengharapkan orang ramai menyukai masakannya.


“Harapan saya tak banyak. Cuma berharap pelajar-pelajar dan orang ramai dapat menikmati variasi aneka nasi campur dengan harga yang berpatutan.

“Secara jujur, saya tak ada target lagi sebab berniaga nasi campur ni pun masih baru bagi saya. Sebelum Ramadhan ni, saya berniaga menjual sandwich di sekitar TTDI (Taman Tun Dr Ismail).

“Saya teruskan je dulu menjual dan apa yang Allah dah tentukan nanti saya akur dan syukur,” tambah Harith.

Hantaran Twitter: