[VIDEO] Rakyat Palestin Bersorak Kibar Jalur Gemilang, Terharu Pengorbanan Malaysia

Penduduk Gaza berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas sikap berani menyokong Palestin dan mengharamkan atlet Israel memasuki Malaysia.

Mereka mengangkat sepanduk dan kain rentang dengan menyatakan penghargaan buat Dr Mahathir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Video tersebut dimuat naik Ahmad Abu Ayesh Alnajjar di Facebooknya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.

Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

“Semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

“Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.

“Pergerakan Paralimpik sentiasa akan diteruskan, didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan, bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terbabit dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan sama dalam situasinya sama walaupun negara berbeza,” memetik kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Atlet IPC, Chelsey Gotell berkata pihaknya menerima banyak maklum balas daripada atlet di seluruh dunia berkenaan situasi berkenaan.

Ujarnya, pihak IPC telah mengadakan perbincangan berkenaan maklum balas yang dikumpul dan memaklumkannya kepada Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia bagi mendapatkan respon mereka.

“Kami turut berhubung dengan Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia untuk mengumpul maklum balas mereka mengenai situasi ini bagi memastikan suara atlet dapat dilihat dalam perbincangan dan keputusan Lembaga IPC,” katanya.

Pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia.

Baru-baru ini pula, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai ‘anti-Semitisme melampau’.

Keputusan IPC itu telah  ‘disambut’ dengan penyatuan rakyat Malaysia yang ‘menyerang’ Facebook (FB) Paralympic Games pada komen berita mengenai keputusan berkenaan.

Hampir semua komen pada berita itu datangnya dari rakyat Malaysia yang tidak peduli dengan keputusan berkenaan dan menyokong keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Antara reaksi rakyat Malaysia yang memenuhi ruang komen berita keputusan berkenaan adalah ‘I am Malaysian #standwithPalestine’, ‘we don’t care’, ‘Shame on you shame on you!!’, ‘Proud with Malaysia’ dan ‘Dalam isu ni.. rakyat bersama dengan kerajaan Malaysia.. menyokong penuh keputusan dibuat oleh kerajaan Malaysia’.