Pihak Lawan Sanggup Hentikan Game Untuk Lindungi Pemain Berhijab Betulkan Tudung.

Ramai wanita Muslim yang bersukan dan masih menjaga dan menitikberatkan pakaian yang menutupi aurat mereka.

Pakaian yang menutupi aurat dan selesa untuk dipakai ketika bersukan amat penting untuk membolehkan mereka bersukan tetapi masih seiring dengan tuntutan syariah.

Pelbagai sukan pada masa ini yang disertai oleh wanita Muslim antaranya marathon, bola sepak, badminton dan sebagainya.

Baru-baru ini telah tular satu video di laman sosial Twitter yang memaparkan satu perlawanan bola sepak wanita.

 Tudung salah seorang pemain wanita yang beragama Islam itu hampir tertanggal selepas secara tidak sengaja ditarik oleh pihak lawan ketika itu.

Apa yang menarik disini adalah sikap pihak lawan yang peka dan menghormati pemain beragama Islam itu.

Mereka sanggup menghentikan permainan seketika dan memberi masa kepada pemain bertudung itu membetulkan tudungnya.

Menerusi rakaman video tersebut, sejurus mereka sedar tudung pemain wanita itu tertanggal mereka terus mengerumuni pemain itu daripada orang ramai.

Video tersebut menunjukkan pemain-pemain itu mempunyai sikap menghormati agama lain dan bertoleransi.

Selain itu, video tersebut turut mendapat ribuan retweet dan 47 ribu tanda suka daripada pengguna laman sosial twitter.

Rata-rata netizen juga turut memuji sikap murni pemain daripada pihak lawan yang disifatkan sebagai satu contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Semoga contoh yang baik ini juga menjadi teladan kepada semua yang bersukan dan mempunyai toleransi antara satu sama lain meskipun kita mempunyai kepercayaan yang berbeza.