Pemandu Kurier Dipenjara, Curi Bungkusan Pelanggan Bernilai Lebih RM100,000

Sejak bermula pandemik wabak C19, kebanyakan negara melaksanakan kawalan pergerakan bagi mengelakkan penularan virus dalam masyarakat.

Rentetan daripada itu, kebanyakan penduduk mula menggunakan perniagaan secara maya dan servis penghantaran bagi mendapatkan barang keperluan seharian.

Namun begitu, terdapat banyak kes tular yang melibatkan pekerja-pekerja kurier dan kebanyakan parcel tidak dapat dikesan sehingga orang ramai membuat banyak laporan akibat tidak menerima bungkusan mereka.

Terbaharu, seorang pemandu penghantaran di Singapura telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 minggu kerana didapati bersalah menyimpan berdozen-dozen bungkusan bernilai S$34,000 (RM105,825) akan tetapi bungkusan-bungkusan tersebut telah ditandakan hilang olehnya.

Menurut laporan Channel News Asia, syarikat kurier tersebut mendapat banyak aduan kehilangan dan  membuat siasatan ke atas pekerjanya sehingga menemui pelaku sebenar. Lantaran itu pihak syarikat terus melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Hasil siasatan yang dijalankan dan polis telah menyerbu rumah suspek dan menemui lebih dari 100 barang yang dicuri olehnya selama lebih kurang lima bulan lalu.

Suspek yang bernama Muhamad Nur Sheqal telah ditahan dan telah mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah kerana mencuri.

Menurut pengurus syarikat Ninja Van, Li Mengxia mereka pada mulanya tidak mengesyaki lelaki itu kerana dia telah bertugas sebagai pemandu penghantaran di syarikat itu sekitar satu setengah tahun.

Katanya, syarikat masih lagi memberi kepercayaan kepadanya namun dia didapati tidak mengimbas setiap bungkusan yang dihantar lau menimbulkan syak wasangka terhadapnya.

“Terlalu banyak pergerakan di gedung itu lantas sukar untuk Ninja Van memantau rakaman CCTV,”

“Dia mula melakukan demikian dari sekitar bulan Jun 2019 hingga November 2019”- Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Tan

Namun, segala bukti dan barangan yang hilang semuanya berkait dengannya. Difahamkan dia telah menyimpan 106 buah bungkusan di rumah ibu mertua dan akan mengambil semula bungkusan tersebut.

Tambahan pula, bungkusan-bungkusan yang diambil agak sukar dikesan kerana saiznya yang kecil. Antaranya barangan yang diambil adalah telefon-telefon pintar Samsung Galaxy Note 10+ yang berharga RM4,975 setiap satu.

Dengan itu, pihak Pendakwa Raya telah memohon agar lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam bulan. Hakim dikatakan telah membenarkan lelaki itu untuk mula menjalani hukuman penjara pada akhir bulan ini.