Pelajar Tingkatan 4 Tawan Puncak Tertinggi Eropah, Terima Anugerah Pendaki Termuda Asia Tenggara

Seorang murid tingkatan empat, Sara Sofea Muhammad Illaham telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan menakluk puncak tertinggi benua Eropah, Gunung Elbrus, Russia.

Baru berusia 16 tahun, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) itu tiba di puncak Elbrus setinggi 5,642 meter pada 4.25 petang diiringi bapanya, Muhammad Illaham Ishak, lapor HMetro..

Illaham juga merupakan Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) serta seorang lagi pendaki sokongan iaitu pelajar Universiti Putra Malaysia, (UPM), Muhammad Farhan Abdul Rahman.

12 Jam Mendaki

Pendakian ke puncak Elbrus dimulkana pada awal pagi 15 Ogos dan mengambil masa hampir 12 jam untuk sampai ke puncak.

Sara Sofea berdepan dengan angin kencang yang bertiup sepanjang pendakian yang menyukarkan lagi pergerakannya serta cuaca sejuk ekstrim dengan suhu -20 darjah celsius.

Bagi Sara, pendakian ini sangat sukar kerana faktor ketinggian dan cuaca sejuk dengan suhu di bawah paras beku.

Malah, Sara turut mengalami AMS (Penyakit Akut Gunug) disebabkan kekurangan oksigen tetapi berjaya meneruskan pendakian hasil dorongan pasukan.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat mencapai impian saya ke puncak tertinggi Eropah walaupun dalam keadaan mencabar dan kejayaan ini ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 tidak lama lagi,”

Menurut Sara Sofea, dia berazam mengikut jejak langkah bapanya untuk menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest satu hari nanti.

Pendaki Termuda Asia Tenggara

Lebih menggembirakan apabila Sara Sofea dianugerahkan oleh Presiden Mountaineering, Rock Climbing and Sports Tourism, Federation Of Kabardino-Balkarian, Republic Of Russia, Abdul Halim Olimezov yang mengesahkan Sara Sofia adalah pendaki termuda Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak Gunung Elbrus.

Ekspedisi untuk menawan puncak tertinggi Eropah ini  merupakan anjuran KJA dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Semoga pencapaian Sara Sofea ini menjadi inspirasi buat pendaki yang lain.