Nintendo Umumkan Nintendo Switch Lite, Lebih Kecil dan Mampu Milik

 

Nintendo mengumumkan bahawa Nintendo Switch Lite, akan dilancarkan pada September 2019 dan hadir dalam tiga warna yang berbeza iaitu warna Yellow, Gray, dan Turquoise. Konsol ini akan ditawarkan pada harga USD199.99 atau sekitar RM828.

 

3 pilihan warna: Yellow, Gray, dan Turquoise

 

Berdasarkan namanya dan tanda harga yang lebih murah berbanding konsol Switch asal, konsol ini hadir dengan spesifikasi yang lebih rendah dan direka khusus untuk permainan handheld, bukan lagi hibrid seperti sebelumnya.

Switch Lite bersaiz lebih kecil berbanding Switch asal. Skrin baru adalah bersaiz 5.5 inci berbanding dengan skrin asal 6.2 inci dan berat konsol juga lebih ringan. Ia tidak lagi mempunyai dok dan kickstand, dan tidak menyokong output video ke TV.

Switch Lite direka dengan alat kawalan built-in dan mempunyai D-pad terbina. Ini bermakna alat kawalan tidak lagi boleh ditanggalkan seperti alat kawalan Joy-Con pada Switch asal.

Namun begitu, Switch Lite mempunyai jangka hayat bateri yang lebih panjang iaitu 3 hingga7 jam. Ini adalah sedikit peningkatan berbanding 2.5 hingga 6.5 jam pada Switch asal.

Switch Lite boleh memainkan semua permainan di dalam Nintendo Switch Library yang menyokong mod handheld. Switch Lite akan menyokong alat kawalan Joy-Con tambahan, alat kawalan Switch Pro, dan Poké Ball Plus, dan mempunyai kawalan gyro built-in. Ia juga menyokong Wi-Fi, Bluetooth, dan NFC.

 

Switch Lite edisi Zacian dan Zamazenta.

Nintendo juga mengumumkan akan melancarkan konsol edisi istimewa berkonsepkan Pokemon iaitu Switch Lite edisi Zacian dan Zamazenta. Konsol ini akan mempunyai tanda harga yang sama iaitu berharga USD 199.99 dan akan dikeluarkan pada 8 November 2019, hanya beberapa hari sebelum tarikh pelancaran Pokemon Sword and Shield iaitu pada 15 November.

 

Sumber : Polygon , Nintendo