Nama Digugurkan Ke Jakarta, Johan As’ari Luah Rasa Kecewa Dengan Pihak Studio Kembara

Selepas filem Mat Kilau mendapat kejayaan dan tempat di hati penonton, ramai pihak dari luar negara yang meminta agar filem ini turut ditayangkan di negara mereka. Antaranya Indonesia, Singapura dan Brunei. Filem ini juga mencetus fenomena apabila mengutip lebih dari RM90 juta selepas 33 hari tayangan.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila pelakon yang membawakan watak Mat Kilau, Adi Putra telah berkongsikan pautan di laman Instagram yang mendakwa pihak pernebit Studio Kembara susah berhubung dan berkomunikasi. Dalam pada itu, Adi Putra juga menyatakan dia tidak akan hadir ke malam gala filem Mat Kilau di Jakarta.

Pelakon yang turut membintangi filem tersebut Johan As’ari meninggalkan sebuah komen yang bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Adi Putra. Malah, Johan turut menyatakan dia rasa berat hati untuk hadir ke Malam Gala filem Mat Kilau di Jakarta jika pelakon utama itu sendiri enggan untuk hadir.

“Kalau abang Kilau tidak hadir ke Malam Gala filem Mat Kilau di Jakarta, Yasin berat hati untuk ke majlis tersebut,” tulisnya sambil mengiringi komen itu dengan tanda pagar #taatpadayangsatu di komen tersebut.

Susulan kenyataan itu, ramai pihak di platform media sosial yang mempersoalakan dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Studio Kembara yang melakukan perkara sebegitu. Menurut mereka, tanpa barisan pelakon yang hebat mungkin filem ini tidak bakal menaikkan nama industri perfileman Malaysia.

Baru-baru ini, Johan Arif As’ari atau lebih dikenali sebagai Johan As’ari yang memegang watak Yassin meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pihak pernebit Studio Kembara apabila namanya tiba-tiba digugurkan dari senarai barisan pelakon filem Mat Kilau yang bakal hadir ke Malam Gala di Jakarta.

Memetik laporan Harian Metro, Johan menjelaskan dia tidak menyangkan keputusan yang diambil oleh pihak tersebut tidak relevan. Dia turut menganggap perkataan ‘digugurkan’ kedengaran tidak manis dan memberi pandangan yang berbeza.

“Saya tertanya-tanya mengapa mereka menggunakan perkataan digugurkan. Tak adakah perkataan lebih indah untuk digunakan? Saya anggap kelakar dan tidak profesional. Kalau saya tak pergi pun saya okey. Kalau saya dijemput oleh pengedar atau figura dari sana pun saya okey. Saya tak kisah keluarkan perbelanjaan sendiri,” katanya.