“Nak Masuk 3 Bulan, Masa Check Up Hari Tu Doktor Bagitau Adik Eya Tak Bergerak Lagi” Jep Sepahtu

Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu memaklumkan isterinya Sari Yanti akan menjalani pembedahan hari ini selepas anak kedua yang berada dalam kandungan tidak bergerak lagi.

Di dalam entri di Instagram, Jep berkongsi kisah sedih itu kepada pengikutnya dan berharap orang ramai dapat mendoakan isterinya.

“Minggu lepas abah bawa Eya teman mama pergi hospital nak tengok adik.

“Adik Eya dah nak masuk 3 bulan dah. Sekali masa check up haritu doctor bagitau adik Eya tak bergerak lagi dah.

“Doakan mama Eya selamat operation harini ya. @sariyanti @dariyainaraofficial,” tulisnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata berharap agar segalanya akan dipermudahkan dan mendoakan kesihatan Sari Yanti yang akan menjalani pembedahan hari ini.

Jep Sepahtu dan Sari Yanti telah mendirikan rumahtangga pada tahun 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Dariya Inara.

Sari Yanti Dato’ Mohamad Nazari atau lebih dikenali sebagai Sari Yanti (lahir 9 November 1984) merupakan seorang pelakon wanita Malaysia.

Beliau terkenal menerusi peranannya sebagai Kaisara dalam sitkom Kisah Kaisara (2007–08).

Sejak itu, Sari Yanti muncul dalam beberapa siri TV seperti Juanna (2008), Annisa (2009), Suria di Cordoba (2011), BFF: Teman Tapi Mesra (2012) dan Cik Serba Tahu (2017).

Sari Yanti memulakan kerjaya awal sebagai model sambilan selepas memenangi pertandingan gadis penghias muka depan pada tahun 2006.

Beliau mula dikenali sejak muncul dalam iklan Hotlink, yang turut dibintangi oleh Bront Palarae.

Sari Yanti ditawarkan oleh Aziz M. Osman untuk menjayakan watak Kaisara dalam siri drama remaja Kisah Kaisara terbitan Ace Motion Sdn. Bhd. dan disiarkan di TV3.

Drama ini menjalani penggambaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati. Ia mengisahkan kehidupan pelajar sekolah yang bertudung. Penampilan filem pertama Sari ialah menerusi watak pembantu dalam filem aksi perlumbaan kereta Impak Maksima arahan Ahmad Idham.

Pada 11 November 2008, Sari memegang watak Juanna, seorang gadis yang menjadi mangsa dera ibu bapa tirinya dalam siri drama dengan tajuk sama yang disiarkan di TV1.

Beliau pernah tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 kategori “Artis Baru Wanita Popular”.

Pada tahun 2011, Sari Yanti menjayakan watak Suria Khadijah Parker, seorang wanita kacukan Melayu-Sepanyol yang memilih menjadi aktivis untuk membebaskan dirinya dari dunia kebendaan dalam siri drama Suria Di Cordoba yang memulakan siaran pada 7 Jun di Astro Prima.