Muncul Di Konsert 3 Generasi, Noh Salleh Luah Rasa Rindu

Sejak kebelakangan ini nama Noh Salleh telah mencuri tumpuan ramai apabila timbul isu Noh menghembuskan asap vape ketika ditembual berkenaan hal rumah tangganya. Tidak lama kemudian, Noh dan Mizz Nina mengumumkan penceraian mereka di laman Instagram pada 4 Ogos.

Pun begitu, dia sekali lagi menjadi perbualan hangat apabila sebuah video tular di laman TikTok selepas Noh membuat kemunculan di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur melakukan ‘catwalk’ yang memperagakan koleksi pakaian jenama Show Super Sunday sambil memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan.

Susulan isu tersebut, rata-rata warga netizen tampil meluahkan rasa kurang senang di platform media sosial dengan tindakan penyanyi tersebut. Malah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menegur aksi Noh dan memandang serius isu berkenaan yang dianggap menunjukkan contoh yang tidak baik.

Baru-baru ini, Mohammad Noh bin Salleh atau lebih dikenali sebagai Noh Salleh yang juga vokalis kumpulan Hujan telah melakukan persembahan konsert 3 Generasi di Zepp KL bersama kumpulan Spider dan XPDC.

Konsert 3 Generasi di Zepp KL itu berlangsung selama tiga jam dan dihadiri lebih 3,000 orang penonton. Bukan itu sahaja, malah ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan kumpulan Spider dan XPDC yang sudah lama tidak muncul.

Memetik Kosmo, dia mengatakan terharu dengan sambutan peminat yang masih menerima dan menyokong kariernya sebagai seorang anak seni. Selepas dilanda beberapa kontroversi, Noh juga menyifatkan konsert tersebut menjadi pengubat rasa rindu dan dukanya.

Walau bagaimanapun, Noh sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak pengajur kerana masih diberikan peluang untuk mempersembahkan karya seninya.

“Saya berbangga dapat buat persembahan di atas satu pentas dengan Spider dan XPDC serta berpeluang menunjukkan karya-karya seni Noh Salleh. Selain itu, tahun ini macam-macam hal yang berlaku dan konsert ini juga boleh dikatakan sebagai pengubat rasa duka sebenarnya,” katanya di atas pentas.

Malah, sewaktu persembahan ada peminat wanitanya yang menjerit “ I love you” itu telah mengundang perhatian ramai namun penyanyi ini hanya memberikan jawapan yang berseloroh.

“Eh, aku pun sudah single (solo),” balasnya.