Muatnaik Video Cium Bibir Kanak-kanak, Polis Buru Pengasas Produk Kecantikan

Beberapa hari lepas, tular satu klip video di media sosial seorang lelaki mencium bibir seorang kanak-kanak yang didakwa adik angkatnya.

Menerusi laporan Bernama, pihak polis sedang mengesan lelaki tersebut yang juga pengasas produk kecantikan bagi membantu siasatan.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan, berkata pihaknya juga sedang mengesan kanak-kanak berkenaan serta saksi kejadian.

“Siasatan kes berkenaan lebih kepada Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak dan memberi tumpuan dalam mengesan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, video berkenaan tular dalam media sosial Tiktok, Twitter dan Facebook apabila seorang lelaki mencium bibir kanak-kanak yang didakwa sebagai adik angkat lelaki itu.

Menurutnya, perkara itu bukanlah sesuatu yang aneh dan menjadi kebiasaan di dalam keluarganya.

Bagaimanapun aksi mencium mulut dianggap tidak wajar oleh wargamaya dan menganggap perbuatan tersebut sebagai keterlaluan.

Wargamaya mendakwa, lelaki yang menggunakan nama samaran @papa_idola_semalaya dalam aplikasi TikTok turut berkongsi video mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki lain.

Tindakan yang dianggap keterlaluan dan di luar normalisasi itu turut mendapat perhatian penceramah bebas, Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Akhi menerusi bebenang di Twitter meluahkan rasa terkejut apabila melihat kanak-kanak dan remaja dicium pada bahagian bibir oleh seorang dewasa.

Menurut Akhi, perlakuan tersebut boleh dianggap sebagai gangguan seksual.

“Ya Tuhan, ni apa benda ni? Mulut, dada, kemaluan, paha, punggung adalah private part.

“Jangan kata orang lain, mak bapak sendiri pun tak boleh sembarangan memegang, menyentuh, mencium bahagian berkenaan.

“Tengok gaya macam dah kena sex grooming budak ni,” ciap Akhi.

Bebenang tersebut mendapat perhatian warga Twitter yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati dan bercadang untuk membuat laporan polis terhadap @papa_idola_semalaya.

Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyahaktif.