Memilih Pengurus Sendiri Sebagai Suri Hati, Aizat Amdan Bakal Berkahwin 14 Ogos Ini

Baru-baru ini penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu cinta, penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama wanita pilihannya, Elyssa Ilias pada 14 Ogos ini selepas tiga tahun bercinta.

Difahamkan bakal isterinya itu juga adalah pengurusnya sendiri. Menurut Elyssa perkenalan mereka sebenarnya di atas dasar kerja sahaja. Katanya lagi dia dan Aizat berkongsi sifat yang sama iaitu suka makan.

“Aizat seperti rakan karib dan saya tak perlu berpura-pura. Kami pun berkongsi sifat sama seperti gemar makan.

“Dulu saya pernah temubual dia dan terus terang tak kenal dia sangat. Bila sudah borak rupanya kami tinggal dalam kawasan sama,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, mereka ditemui di sidang media pelancaran lagu yang berjudul Hanya Kita Dua. Aizat juga berkata lagu Hanya Kita Dua ini adalah ciptaan khas darinya yang didekasikan buat bakal isterinya. Lagu itu juga merupakan kesinambungan single Sampai Ke Hari Tua.

“Insya Allah saya akan berkahwin dengan jodoh saya pada minggu depan. Kami bertemu dalam hampir tiga tahun dan mulanya sahabat saja. Bila lama-lama, secara semula jadi bercinta dan timbul hasrat untuk berkahwin.

“Lagu Hanya Kita Dua istimewa sebab saya tujukan kepada dia. Lagu kahwin selalunya perlahan, santai, tapi saya nak buat lagu yang lebih ‘funky’. Ia lagu keraian sebab terlalu gembira jumpa seseorang yang istimewa.

“Dia seorang yang berbeza, petah bercakap, dan tenaganya mengagumkan. Lagu ini sangat menggambarkan perwatakan dia” ujarnya

Berceritakan soal mengapa berani melamar Elyssa, Aizat berkongsi yang dia yakin dan layak untuk menjadi suami untuk Elyssa. Mempunyai sifat menyendiri Elyssa juga mengajar Aizat supaya tidak memetingkan diri.

“Dia buka hati saya jadi lebih mudah berkongsi perihal peribadi” ujarnya lagi.

Sekadar info, pasangan itu akan melangsungkan pernikahan secara tertutup di E-Park, Puchong, Selangor dan juga mengadakan resepsi pada hari yang sama.

Aizat juga telah merisik pasangannya itu pada Februari lalu. Elyssa sebelum ini pernah bergelar hos untuk program Jom Wayang dan penyampai radio di stesen radio Rakita.