Mangsa Terakhir Diberi Rawatan HBOT, ATM Ajak Rakyat Malaysia Sama-sama Mendoakan

Tragedi keracunan karbon monoksida di sebuah stesen minyak di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini telah mengorbanan tiga sahabat dan mangsa terakhir masih dirawat di hospital.

Difahamkan, wanita mangsa terakhir diberikan rawatan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini.

Mangsa terakhir masih dirawat di Unit Rawatan Rapi

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata mangsa berkenaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, masih dipantau dan diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif.

“Mangsa telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Hospital Tuanku Mizan pada tarikh kejadian” lapor Bernama.

ATM mengajak seluruh rakyat mendoakan yang terbaik buat mangsa

“ATM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan situasi terbaik buat mangsa dan semoga keluarga beliau diberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tiga wanita termasuk kembar kepada Nor Aqilah maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 Sept lepas.

Salam takziah kepada ketiga-tiga mangsa

Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu ialah Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah yang juga kembar kepada Nor Aqilah.

Kesemua mereka yang berusia 21 tahun telah pergi ke Pulau Jerejak semasa cuti Hari Malaysia, dan difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

Semoga semua ahli keluarga mangsa tragedi keracunan karbon monoksida ini tabah dan kuat dengan ujian ini.