Mampu Raih RM10,000 Sebulan, Lelaki Ini Ternak Ketam Nipah di Tebing Sungai Kelantan

Mat Yassin yang berusia 55 tahun, seorang penternak yang mengusahakan kawasan ternakan ketam nipah seluas dua hektar di tebing Sungai Kelantan berkata beliau memasang pagar setinggi 12 kaki di kolam yang mana 10 kaki berada di dalam tanah bagi mengelakkan ketam yang diternak keluar dari kawasan kolam, lapor Bernama.

Yassin berkata kebiasaannya semasa air pasang, ketam nipah akan naik ke darat dan akan berlindung daripada panas cahaya matahari di bawah lumut yang timbul di permukaan air dan ini menyebabkan penternak ketam nipah akan membiarkan air di dalam kolam mereka berlumut.

Membelanjakan sekitar RM100,000, Yassin menyiapkan peralatan termasuk generator untuk mengepam air dari sungai ke dalam kolam terutama pada musim kemarau.

Malah, tayar terpakai pula dijadikan tempat persembunyian ketam terutama semasa menunggu anak ketam menetas.

“Cabaran untuk kami penternak ketam nipah ialah apabila air surut dan keadaan berselut, ketam nipah ini akan mengorek tanah sedalam 10 kaki untuk berehat dan ada kalanya lubang yang dikorek itu menyebabkan ketam lari ke tempat lain dan ini akan merugikan penternak,” katanya.

Yassin turut membuat batas untuk berjalan kaki bagi memudahkan pengawasan di sekitar kawasan kolam ternakan kerana jika meranduk di kawasan yang berlumpur itu akan mengganggu habitat ketam.

Walaubagaimanapun, di sebalik kepayahan itu hasilnya berbaloi kerana kebiasaannya ketam nipah dewasa dijual pada harga RM45 sekilo dan beliau mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

Manakala, seorang lagi penternak ketam nipah Kadir Ismail, 78, berkata habitat semula jadi ketam ini adalah dalam kawasan hutan pokok nipah yang berlumpur dan airnya masin, bila air laut pasang, kawasan persekitaran pokok nipah akan dinaiki air manakala bila air surut, hanya tompokan air dapat dilihat.

Kadir yang ditemui di kolam ketam nipahnya di Pulau Panjang berkata, ketam nipah kini menjadi ‘buruan’ pembekal ketam nipah untuk dijual kepada hotel dan restoran.

Beliau yang dibantu anaknya, Azlan, 49, mendapat bekalan benih anak ketam daripada orang kampung yang mencari anak ketam nipah liar yang mana seekor anak ketam nipah sebesar syiling 20 sen dibeli pada harga 40 sen manakala yang bersaiz 50 sen pula harganya 60 sen seekor.

“Sekarang, penternak ketam nipah sudah semakin ramai, jadi kami yang menternak secara kecil-kecilan ini kena bersaing untuk mendapatkan bekalan benih.

“Sekiranya dahulu, anak ketam nipah dapat dilihat berkeliaran di kawasan pokok nipah tetapi kini sudah jarang kelihatan,” katanya.

Semoga hasil ternakan mereka sentiasa mendatangkan hasil lumayan sekaligus memacu ekonomi negara kita.