Lancar Produk Sendiri, Yassin Yahya Dedah Idea Buat ‘Merchandise’ Ditolak Ahli Lain

Tidak dapat dinafikan, kebanyakan daripada kita mesti ramai yang pernah membesar dengan komedi dan sitkom lakonan kumpulan pelawak Senario ini. Boleh dikatakan kumpulan ini sememangnya ‘legend’ dengan kebolehan serba boleh oleh ahli-ahli otai seperti Azlee Jaafar, Lan Pet Pet, Abdul Wahid, Saiful Apek, Ilya Buang, Yassin Yahya dan Hamdan Ramli malah sehingga kini, mereka masih relevan serta diminati ramai tidak mengira golongan.

Namun pun begitu, ada daripada segelintir ahli ini juga telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Pelawak Yassin Senario atau juga nama sebenarnya Yassin Yahya ini baru sahaja melancarkan produk dibawah jenama ‘SENNARYO’ iaitu jenis produk penjagaan diri penggayaan rambut (pomade) dan sabun cleanser pelbagai guna untuk lelaki.

Walau bagaimanapun, di sebalik keluarkan produk tersebut sebenarnya pelawak ini sudah lama menyimpan hasrat untuk melakukan bisnes ketika masih aktif dalam kumpulan Senario.

Memetik sumber, Yassin mendedahkan dia pernah mencadangkan kepada beberapa ahli lain namun mereka menentang ideanya. Oleh sebab demikian, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan lawak berkenaan.

“Sebenarnya, saya memang suka berniaga. Ketika saya masih bersama kumpulan Senario, saya pernah mencadangkan idea untuk kami mengeluarkan barangan jenama Senario. Ketika itu, kami lima orang duduk berbincang…”

“Saya cadangkan untuk gunakan Gitu-Gitu Production untuk menghasilkan merchandise kita sendiri tapi idea tersebut ditentang oleh beberapa ahli lain. Pada waktu itu, mereka masih tak nampak lagi kebaikkan projek ni…”

“Saya bagitahu, sampai bila nak harapkan orang luar untuk menjaga semua ini. Saya jadi ralat kerana kami ini ahli Senario tapi kami tak boleh nak buat duit dengan nama kami sendiri. Oleh kerana itu, saya putuskan untuk keluar Senario supaya mereka nampak apa tujuan saya yang sebenar,” katanya.

Menurut Yassin, selepas tidak bersama Senario dia telah berusaha keras dan fokus untuk menaikkan ‘personal branding’ sendiri untuk membuat duit pada tahun ini.

“Bila saya keluar daripada Senario pada tahun 2003, saya mula fokus untuk kukuhkan jenama diri sebelum mengeluarkan produk saya sendiri. Saya mahu pastikan diri saya ini tahan maki, cacian dan boleh diterima ramai…”

“Jadi, dengan pengalaman tersebut , saya rasa sudah cukup lama untuk membina jenama saya sendiri dan memasuki tahun 2022, inilah masanya saya membuat duit” ujarnya.

Selain itu, pelawak ini turut mendapatkan nasihat dan bimbingan oleh penyanyi Ifa Raziah yang juga merupakan seorang usahawan untuk menjayakan projek ini.

“Saya juga mendapat bimbingan daripada Kak Ifa Raziah. Saya banyak ikut Star Vendors dan expo-expo lain. Saya buat marketing untuk diri saya sendiri demi melihat penerimaan orang terhadap diri saya…”

“Jadi, saya melihat diri saya ini masih relavan sehingga hari ini dan apa salahnya saya keluarkan produk saya sendiri. Ini adalah langkah pertama saya dalam bidang bisnes” tambahnya lagi.