Kongsi Berita Palsu di Whatsapp, Suri Rumah Sarat Hamil Didenda RM5,000

Seorang suri rumah yang sarat hamil didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, di Kangar selepas mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar berkenaan penularan jangkitan COVID-19 menerusi aplikasi media sosial di Arau pada April lalu.

Menerusi laporan Berita Harian, Norjannah Rusli, 28, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi status WhatApp melalui nombor talian yang didaftakan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar di Lot 8664, Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau jam 10.31 pagi pada 18 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan dibantu oleh peguam, Siti hajar Che Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mohd Nordin dalam hujahannya berkata, ini adalah kes pertama seumpama ini di Perlis dan walaupun kesalahan berkenaan adalah kesalahan pertama tertuduh, perbuatannya memuat naik berita yang tidak sahih dan benar mengenai penularan COVID-19 di sebuah sekolah di Arau itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk dan guru di sekolah itu.

Pihaknya memohon satu hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi berita atau memuat naik sesuatu berita yang tidak sahih dan benar.

Zuhair yang mewakili tertuduh pula meminta mahkamah meringankan hukuman tertuduh disebabkan tertuduh sedang mengandung 28 minggu.

Selain itu tertuduh juga mempunyai dua orang anak berusia empat dan lima tahun serta suami yang baru kehilangan kerja sebagai pemandu lori disebabkan penularan COVID-19.

Zuhair berkata, tindakan tertuduh yang berkongsi berita berkenaan itu hanyalah kerana gesaan kepada masyarakat supaya berhati-hati serta kegusarannya terhadap penularan jangkitan COVID-19 yang semakin naik di negeri Perlis.

Hakim Musyiri bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dan tertuduh juga boleh dipenjara lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Pada 20 April lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan berita di media sosial yang mendakwa sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka disahkan positif COVID-19.

Pengarahnya, Naharudeen Othman, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan setelah siasatan dilakukan hanya seorang sahaja yang disahkan positif COVID-19.

Penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.

Diharapkan perkara ini menjadi pengajaran buat semua agar berhati-hati dalam menyebarkan berita yang tidak dipastikan sahih.

Follow YOY Network di laman Instagram untuk pelbagai info dan video menarik!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by YOY Network (@yoynetwork)