Kini Hanya Tinggal Berdua, Suami dan 2 Anak Maut Angkara Treler Terbabas

Isteri mangsa kemalangan, Shamshira Mohd Norizin, 31, menangis selepas melihat mayat arwah suaminya, Hafize Nizam Ali Supian, 30, di perkarangan Rumah Mayat Hospital, Kampar berikutan kejadian kemalangan treler di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar – Kota Bharu pada malam tadi.

Tragedi itu bukan hanya mengorbankan arwah suaminya, malah dua anak lelakinya berusia 9 dan 6 tahun turut meninggal dunia di tempat kejadian.

Menerusi laporan Harian Metro, mangsa maut adalah pemandu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, dan dua anak lelakinya, Mohammad Afif Rafiqi Hafizi Nizam, 9, dan Arrian Nuh Hafizi Nizam, 6.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, polis menerima makluman kemalangan daripada orang awam pada 10.35 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dari arah Kota Bharu menghala ke arah Malim Nawar dipercayai terbabas di lorong kiri dan melanggar tiang elektrik dan juga besi penghadang jalan sebelah kiri jalan,” katanya.

Hasron berkata, ketiga-tiga mangsa tersepit dalam treler dan semua mangsa maut di tempat kejadian.

Katanya, pasukan penyelamat mengambil lima jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

“Punca kemalangan treler terbabas sendiri melanggar tiang elektrik dan besi penghadang jalan.

“Kes diklasifkasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

Katanya, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Kampar bermula 5 hingga 7 pagi.

Sementara itu, tinjauan wartawan di forensik, suasana diselubungi pilu dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan arwah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan, 10.28 malam tadi dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah treler membawa muatan simen terbabas di bahu jalan menyebabkan tiga orang mangsa tersepit.

“Anggota mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kedudukan lori treler dalam keadaan terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, operasi berkenaan turut menerima bantuan daripada anggota dari BBP Kampar.

“Keseluruhan operasi tamat pada jam 2.19 pagi,” katanya.