Kes Hina Nabi, Pemuda Ini Dihukum Penjara 10 Tahun!

Seorang pemuda yang menggunakan Facebook dengan nama ‘Ayea Yea’ dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan atas 10 pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, yang membuat keputusan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998, turut mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya turut memfailkan pertuduhan terhadap tiga lagi pemilik akaun media sosial semalam kerana memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad SAW, semalam.

“Semua pertuduhan itu juga dibuat dengan mengguna pakai peruntukan Seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKMM1998.

“Bagi pemilik akaun Twitter ‘@alvinchow333, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Sekyen 233 AKMM 1998 dan mengaku tidak bersalah bagi lapan pertuduhan yang dibacakan.

“Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonioJr.’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

“Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan dan tiada jaminan ditawarkan, sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019.

“Bagi pemilik akaun Facebook ‘Yazid Kong’, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 233 AKMM, tertuduh mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac 2019,” katanya.

Beliau berkata, butiran peruntukan yang diguna pakai adalah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pula merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Seksyen 233 AKMM 1998 pula berkait penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya.

Semoga dengan hukuman yang dikenakan ini dapat mengekang usaha pihak-pihak tertentu yang cuba memecahkan keharmonian di Malaysia.