Kembar Seiras Tertukar Selepas Lahir, 20 Tahun Bertemu Semula

Bagaikan kisah dalam sinetron, dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan pada 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar.

Memetik laporan Bernama, kejadian tersebut dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Kembar ini jalani ujian DNA 

Apa yang lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Menurut Adryani Iwani, kejadian itu mula terbongkar semasa dia berada di tingkatan empat.

Tidak sengaja terjumpa pelajar sekolah lain yang seiras mukanya

Dia mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.

“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.”

Mama beranggapan seperti pelanduk dua serupa

“Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami.”

“Namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun bagaikan telah ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019.

Saya terkejut ada orang muka serupa dengan saya

Pertemuan itu menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan tubuh badan.

“Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya.”

“Sekali tengok, eh betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.

Akibat terkejut masing-masing berlalu tanpa menyapa

Menurutnya, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.

Katanya, kejadian itu tidak berakhir di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lepas apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah.

Tarikh lahir mereka jatuh pada hari yang sama

Tarikh lahir mereka berdua jatuh pada 19 Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah.

Menurutnya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui Instagram dan bertitik tolak daripada itu, banyak perkara dibincangkan.

Kedua keluarga sepakat melakukan ujian DNA

Apabila mereka mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.

“Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami,” katanya.

Apabila keputusan keluar mama terduduk dan menangis

Menurut pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah melibatkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

“Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan.”

“Keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.”

Kedua ibu bapa yang membesarkan Noratirah telah meninggal dunia

“Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu telah membesarkan Noratirah,” katanya.

Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.

Kaki kedua mereka nama mama

“Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras,” katanya.

Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani 1.34 pagi.

Pada awal keputusan DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya

Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada peringkat awal.

Malah perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa pun kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.

Keluarga masih anggap Adryana Iwani sebagai keluarga

Katanya, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, Ayu Haryani berkata keluarganya itu tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya.

Ayu Haryani meminta Adryana Iwani untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.

Mereka sekeluarga telah melantik peguam

“Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui,” katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu. telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.

BACA: [VIDEO] Lebih 10 Juta Views, Pasangan Ini Kelam-kabut Jaga 4 Bayi Kembar Menangis Serentak

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut terkejut dengan berita berkenaan dan tidak menyangka kejadian seperti itu boleh berlaku.