Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, semua pusat hiburan dan kelab malam hanya dibenar beroperasi sehingga 1 pagi.

Walaubagaimanapun, sebilangan kecil kelab malam akan diberikan kebenaran khas untuk melanjutkan waktu operasi hingga jam 3 pagi atau 5 pagi.

“Sebelum ini, ada kebenaran khas diberikan kepada lima atau enam pusat hiburan untuk beroperasi hingga 5 pagi kerana kebanyakan pelanggan adalah pelancong asing. Namun, kami dapati kebanyakan pelanggan sebenarnya adalah warga tempatan dan saya yakin, pelancong asing tidak datang ke ibu negara kerana pusat hiburan.”

Beliau berkata akan mengkaji kebenaran khas itu dan akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap premis yang melanggar syarat.

“Kita akan kaji mengenai kebenaran khas itu, selain melaksanakan penguatkuasaan pada pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi hingga 1 pagi tetapi melanggar syarat apabila beroperasi lebih masa,”

Sebelum ini DBKL dilaporkan akan mengemukakan syor kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan beroperasi sehingga 1 pagi sahaja.