Kedai Gunting Rambut Tak Beroperasi, Murid Boleh Berambut Panjang ke Sekolah

Pelajar dibenar memasuki ke sekolah dengan berambut panjang ekoran perkhidmatan gunting rambut masih belum dibenarkan beroperasi, lapor Astro Awani.

Walau bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang arahan baharu akan dikemas kini dari semasa ke semasa selepas dua minggu.

Ismail Sabri memahami sebilangan ibu bapa tertanya-tanya bagaimana dengan keadaan rambut anak-anak khususnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak sempat dipotong kerana kedai tidak buka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bahkan, sebilangan besar pula sedia maklum dengan peraturan bahawa setiap pelajar sekolah harus berambut pendek dan kemas.

“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah buat membuat keputusan hasil perbincangan dengan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), walaupun berambut panjang, pelajar dibenar ke sekolah tanpa tindakan guru kerana kedai gunting masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas perkara itu susulan pertanyaan sesetengah pihak berkait perkhidmatan gunting rambut terutama melibatkan pelajar yang perlu memasuki ke sekolah.