Kedah Wajibkan Bakal Pengantin Buat Ujian Covid-19 Sebelum Nikah

Bermula 1 Februari ini, semua bakal pengantin dari mukim, daerah dan negeri yang diisytiharkan zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjalani saringan ujian Covid-19 sebelum menjalani akad nikah di Kedah.

Menerusi laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, bakal pengantin perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

Tanggung sendiri kos

Menurutnya lagi, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk swasta dengan kos ujian atas tanggungan sendiri.

“Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daripada pihak polis, manakala JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak akan mengeluarkan sebarang surat sokongan untuk tujuan berkenaan (merentas daerah atau negeri),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Yusri lagi, akad nikah juga hanya akan dilaksanakan di PAID dan hanya boleh dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Katanya, jurunikah pula membabitkan tiga Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (PPNCR) yang bertugas mengikut sistem penggiliran ditetapkan.

Tak iktiraf sijil kursus kahwin online

Mengenai kursus pra perkahwinan, beliau memberitahu kursus secara bersemuka ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihaknya juga tidak mengiktiraf sijil kursus pra perkahwinan yang dilaksana secara dalam talian.

“Sebaliknya, proses temuduga akan dilakukan bagi menggantikan kursus pra perkahwinan dan tujuan permohonan kebenaran berkahwin di negeri Kedah.

“Pihak PAID berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan yang ditetapkan atau apa-apa arahan Pegawai Agama Daerah dari semasa ke semasa gagal dipatuhi sepenuhnya,” katanya.