Isu Skirt Lagi Pendek Dari Anak, Scha Alyahya Tampil Mohon Maaf

Terdahulu, perkongsian pasangan selebriti terkenal Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta kedua anak perempuannya di laman Instagram yang memaparkan percutian mereka di Universal StudiO Singapore (USS) telah menarik perhatian ramai pihak.

Manakan tidak, perkongsian gambar yang dimuat naik oleh suaminya Ahmad Awaluddin bin Ashaari atau lebih dikenali dengan Awal Ashaari ini mengundang kritikan warga netizen yang memerli Scha Alyahya yang memakai dress pendek berwarna merah jambu lalu membandingkan dengan dress anak sulungnya Lara Alana yang jauh lebih labuh dari ibunya sendiri.

Memetik temubual Mstar, Scha Alyahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean binti Syed Mahadzir Alyahya telah tampil memohon maaf dan memberi penjelasan tentang isu tersebut yang membuatkan rata-rata warganet yang berasa kurang senang dengan penampilannya semasa bercuti di Singapura itu.

Menurut Scha, pada awalnya dia tidak mengetahui ramai yang mengecam penampilanya itu di platform media sosial sehingga dimaklumkan oleh Awal Ashaari. Walau bagaimanapun, dia berlapang dada menerima teguran dan mengakui khilafnya.

“Saya tidak mudah dicuit, benda yang saya buat tu saya rasa salah saya akan mengaku. Kalau bagi saya benda tu mengarut saya akan buat tak tahu sebab at the of the day benda itu tak menggangu saya pun.” katanya.

Tambah pelakon ini, dia mengatakan jika seseorang individu melakukan kesalahan maka mereka perlu menanggung akibat dari sudut yang negatif dan perlu menerima sahaja apa yang dikatakan. Bahkan tidak perlu untuk membalas teguran tersebut. Scha juga tidak menafikan bahwa dia tidak mampu melawan warga netizen yang mengkritik penampilannya di media sosial.

Dia juga turut menyifatkan segala teguran yang diterimanya itu akan dijadikan sebagai pengajaran buat dirinya untuk tidak melakukan perkara sebegitu sekali lagi pada masa akan datang.

“Tak perlu nak menegakkan benang yang basah atau menidakkan benda yang dah salah, terima seadanya. So, saya terima teguran dan kecaman itu.”

“Saya pun dah lama dalam industri jadi saya tahu apa yang patut buat apa yang tidak patut buat.” tambahnya lagi.