Isu ‘Lisa Blackpig’, Janna Nick Mohon Maaf

Pelakon dan pengacara, Janna Nick membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa mempersendakan anggota kumpulan K-Pop terkenal BLACKPINK, Lalisa Manoban menerusi promosi yang dilakukan bagi telefilem Delen.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Munner membuat permohonan maaf itu menerusi sidang media khas yang diadakan secara virtual, pada jam 3.30 petang tadi.

“Bagi isu ‘Lisa Blackpig’, saya sebagai pengarah dan produser untuk telefilem Delen mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terguris hati akan kapsyen tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada isu berkenaan memberikan impak buat kerjayanya, Janna tidak menafikan tentang perkara tersebut.

“Memang ada memberi kesan dan disebabkan itu kami mengambil tindakan untuk mengenakan tuntutan pampasan terhadap individu yang telah memulakan provokasi tersebut sehingga menjadikan isu ini sebagai isu yang besar dan tidak dapat dikawal oleh pihak saya,” jelasnya.

Sidang media itu turut disertai oleh peguambela dan peguamcara, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates.

Dalam pada itu, Ben Syazmin memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut.

“Kami sudah pun membuka kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah yang diterima dan pihak polis masih lagi menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun status terkini, selepas membuat laporan polis, Janna sudah dipanggil untuk memberikan keterangan dan ia sudah pun direkodkan,” katanya.

Ben berharap isu ini tidak lagi digembar-gemburkan dan pada masa sama menjadi pengajaran bagi orang ramai.

“Bagi pihak anak guam saya, Janna Nick serta rangkaian perniagaannya, kami berharap sidang media hari ini dapat memberi penjelasan sebenar dan isu ini tidak akan dibangkitkan lagi.

“Ucapan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atas kerjasama dan siasatan yang dijalankan.

“Saya berharap selepas ini kita akan sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana tanpa kita sedar atau tidak, ia boleh menjadi suatu tindakan jenayah,” katanya.

Pada Isnin lalu, Janna menjelaskan sudah membuat laporan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah, ugutan dan komen keterlaluan terhadapnya.

Terdahulu, nama Janna menjadi panas apabila warganet mendakwa pelakon itu telah menghina anggota kumpulan BLACKPINK, Lalisa Manoban apabila salah satu watak telefilem pertama arahannya, Delen dikatakan menggunakan nama ‘Lisa Blackpig’.

Tindakan itu dilakukan ketika mempromosikan Delen di akaun Instagram.

Kesal dengan tindakan Janna, peminat K-Pop mula membuat ciapan di Twitter dengan menggunakan tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty yang menjadi sohor kini untuk dua hari berturut-turut.

Selain itu, Janna turut dikecam apabila video lama yang mengaitkan dirinya dengan kematian anggota kumpulan SHINee, mendiang Kim Jong Hyun yang meninggal dunia pada 2018 kembali disensasikan selain dituduh mempersendakan kematian bintang K-pop tersebut.

Bagaimanapun Janna telah membuat permohonan maaf menerus satu video namun penggunaan gelaran ‘si mati’ terhadap mendiang Kim Jonghyun dalam video itu menimbulkan kemarahan netizen.