Internet Lebih Murah dan Laju – Menteri KKMM Gobind Singh

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru saja dilantik selepas PRU14, Gobind Singh Deo berkata kementerian berhasrat untuk fokus dalam menggandakan kelajuan internet dalam tempoh terdekat.

Gobind Singh Deo menyatakan mahu melaksanakan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas, pada separuh harga. Itu adalah antara intipati awal ucapan beliau apabila memasuki pejabat Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) buat pertama kalinya.

Beliau berkata pada masa ini, ramai yang membuat aduan berkenaan kualiti jalur lebar di Malaysia yang jauh berbeza dengan negara-negara maju. Pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara tersebut

Ia adalah agenda utama sebaik saya melangkah masuk ketika mesyuarat dengan staf-staf kementerian,” kata Gobind.

Kita akan menggandakan perkhidmatan kelajuan internet jalur lebar jika ia boleh dilakukan. Terdapat banyak rungutan tahun lepas dan kita berharap untuk memperbaiki perkara ini.” jelas Gobind.

Gobind juga berkata, KKMM akan menubuhkan sebuah pasukan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan April lepas, patut dimansuhkan atau dipinda. Beliau bersama pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan akta tersebut sebelum mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind Singh Deo yang juga menteri Singh pertama di Malaysia dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lepas.

Beliau yang mengangkat sumpah merupakan Ahli Parlimen Puchong di bawah Pakatan Harapan selepas menumpaskan calon Barisan Nasional (Ang Chin Tat) dan Pas (Mohd Rosharizan Mohd Rozlan) dengan majoriti 37,380.

Untuk rekod, Menteri di KKMM sebelum ini adalah Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dari Barisan Nasional.