Ini Cara Jaga Gigi Anak Yang Wajib Ibu Bapa Tahu.

Ibu bapa harus tahu bahawa kerosakan gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama anak anda tumbuh.

Jadi ianya adalah sangat penting untuk mengurangkan kerosakan pada gigi anak anda dengan penjagaan gigi oleh ibu bapa atau penjaga.

Di antara punca utama kerosakan gigi ialah daripada cairan, air minuman atau pemakanan yang bergula diberi kepada bayi.

Foto: ToothFairySmiles.com

Sekiranya gigi anak tidak dibersihkan dengan cara yang betul, plak akan terbentuk dan gula yang berada di persekitaran gigi akan dicernakan oleh bakteria yang berada di dalam plak. Asid yang dikeluarkan akan menyebabkan gigi kanak-kanak mudah mereput.

Langkah-langkah terbaik untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum untuk anak masing-masing menurut seorang doktor gigi, Dr. Iqbal Rosali adalah seperti berikut:

1. Jangan Tidur Dengan Botol Susu

Jangan biarkan anak tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan. Walaupun anak sudah tidur dan tidak menghisap lagi, susu tetap akan menitik dan menyebabkan bertakung di dalam mulut. Pengumpulan susu ini boleh merosakkan gigi.

2. Bersih Mulut 2 Kali Sehari

Bersihkan mulut anak 2 kali sehari seperti mana kita menggosok gigi. Gunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi.

Bagi anak yang sudah mempunyai banyak gigi susu, boleh bertukar kepada berus gigi kanak-kanak atau gunakan ‘finger toothbrush’.

3. Guna Ubat Gigi

Perlahan-lahan perkenalkan penggunaan ubat gigi. Anak kecil sudah boleh gunakan ubat gigi mengandungi flourida. Pastikan yang dibeli adalah untuk kanak-kanak.

Cuma letakkan ubat gigi dengan saiz sebiji beras. Ia akan lebih mudah dibersihkan dan tidak takut ditelan oleh anak kerana kuantiti yang sangat sedikit.

4. Ajar Gosok Gigi

Anak yang sudah besar sikit (2-3 tahun), pastikan jangan dibiarkan mereka gosok gigi sendiri. Pastikan ibu bapa menolong mereka menggosok gigi.

5. Minum Guna Cawan

Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan, ‘sippy cup’ atau sudu seawal usianya 6 bulan.

6. Bilas Lepas Makan/Minum

Bilas mulut bayi anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu atau hidangan ‘solid food’.

7. Elak Minuman Bergula

Elakkan memasukkan gula ke dalam susu bayi anda. Malah, elakkan menggantikan dengan apa-apa jenis minuman manis ke dalam botol susu.

8. Sabar Dengan Keletah Anak

Jika anak menangis semasa membersihkan gigi, kentalkan jiwa, cekalkan hati. Biarlah mereka menangis seketika itu.

Ia tidak akan membawa trauma sepanjang hayat hanya semata-mata membersihkan gigi.

9. Dapatkan Rawatan Doktor Gigi

Yang paling penting, bawalah anak masing-masing untuk pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh. Kemudian, disusuli pula dengan setiap enam bulan sekali.

Pada masa inilah ibu bapa boleh menilai dan muhasabah adakah penjagaan gigi anak selama ini betul dan berkesan.

Semoga bermanfaat buat semua.

Foto: FB Iqbal Rosali

[su_note note_color=”#d8d0c3″]Artikel ini adalah tulisan Dr. Iqbal Rosali di Facebook beliau. Anda boleh membaca posting asal di sini.[/su_note]