Indonesia Buka Semula Panggung Wayang Walaupun Kes Covid-19 Terus Meningkat

Indonesia dilaporkan bakal membuka semula panggung wayang dalam norma yang baharu walaupun negara itu mencatat peningkatan kes Covid-19 yang tinggi setiap hari.

Menurut kenyataan Persatuan Pemilik Panggung Wayang Indonesia (GPBSI) dalam pada selasa, hanya panggung wayang yang bernaung dibawah persatuan tersebut sahaja telah bersetuju untuk memulakan operasi pada 29 Julai 2020, lapor Jakarta Post.

“Kesemua pemilik panggung memerlukan dua hingga tiga minggu untuk persiapan memastikan protokol kesihatan dipatuhi,” katanya lagi.

Menurutnya dalam tempoh tersebut, rantaian panggung wayang perlu melatih kakitangan bagi memastikan protokol norma baharu dilaksanakan dengan baik.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar persediaan ini berjalan dengan lancar, oleh itu membolehkan semua panggung wayang beroperasi dan menyumbang kepada ekonomi kreatif terutamanya industri filem negara.”

Berdasarkan Worldometers, semalam (8 Julai 2020) Indonesia mencatat 1,853 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di Republik itu meningkat kepada 68,079 kes.