Ibu Bapa Berang Tambang Bakal Dinaikkan Sehingga RM300, Pengusaha Bas Sekolah Tampil Beri Penjelasan

Khidmat pengangkutan untuk anak pergi dan balik sekolah amat penting lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang sibuk bekerja mencari nafkah.

Iospital phone repair gombak

Khidmat pengangkutan itu termasuklah van ataupun bas sekolah yang dibayar secara bulanan oleh ibu bapa masing-masing.

Bagaimanapun baru-baru ini, ramai ibu bapa menyuarakan ketidakpuasan hati mereka apabila mereka dikatakan perlu membayar sehingga RM 300 bagi membiayai perkhidmatan bas sekolah anak-anak mereka mulai Januari pada tahun hadapan.

Menerusi laporan Kosmo, rata-rata ibu bapa berpendapat bahawa kenaikan mendadak itu disifatkan sebagai keterlaluan dan dikatakan seakan cuba mengambil kesempatan di sebalik kos sara hidup yang tinggi.

Baru-baru ini, telah dilaporkan bahawa kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi dan kenaikan gaji pemandu yang menjadi punca kenaikan tambang bas sekolah sehingga RM 300 itu.

Berdasarkan kenyataan seorang pemandu bas yang bernama Ramesh, kenaikan kos tambang perkhidmatan bas sekolah itu dikatakan bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.

“Banyak sebab saya perlu naik­kan harga tambang bas sekolah tahun depan. Kami terpaksa tanggung kos selenggara dan baik pulih van atau bas sekolah yang tinggi setiap bulan bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan tentang kebajikan pemandu van sekolah. Ada yang sudah bersuara mahu gaji dinaikkan tahun depan dan saya perlu menunaikannya.

“Ketika ini, bukan senang untuk menggajikan pemandu, lebih-lebih lagi ramai pula antara mereka yang sudah beralih kepada pekerjaan lain ketika pandemik Covid-19 dahulu. Jika ada pun, ramai yang sudah berusia 50-an,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha van sekolah yang dikenali sebagai Ahmad, 49, menyatakan bahawa dia tidak memaksa mana-mana ibu bapa atau penjaga pelajar untuk terus mendapatkan perkhidmatannya selepas menetapkan kadar tambang baharu tahun hadapan.

“Saya terpaksa naikkan tambang baharu cuma RM20 seorang bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga. Ini belum lagi berdepan dengan pelbagai kerosakan van.

“Saya perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah. Saya tidak memaksa ibu bapa berbuat demikian (membayar ikut tambang baharu) ke­rana ramai lagi yang memerlukan perkhidmatan van sekolah ketika ini,” katanya berhubung dengan isu tersebut.