Hospital Taiping Kesal Hantaran Iqa Dimanipulasikan, Ini Jawapan Pengarah Dr. Narimah

Seperti yang kita tahu, media sosial merupakan suatu platform yang digunakan untuk menyebarkan maklumat, berhubung dengan rakan dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, hantaran yang dibuat perlulah jangan sampai memanipulasi atau membabitkan mana-mana organisasi.

Menerusi laporan Kosmo, Hospital Taiping menyatakan kekesalan mereka terhadap beberapa portal berita dan halaman Facebook yang memanipulasi hantaran yang dibuat oleh seorang wanita.

Wanita tersebut telah memuat naik suatu hantaran menerusi akaun media sosialnya miliknya iaitu Nurul Iqa, sehingga mengundang kritikan dan kecaman dari netizen terhadap pihak hospital tersebut.

Pengarah Hospital Taiping, Dr. Narimah Yusof menyatakan bahawa perkongsian penceritaan peribadi bertajuk ‘Simpan Kenangan Anak Syurga Ibu dan Ayah’ yang telah dimuat naik oleh wanita tersebut pada 2 Ogos lalu telah tular di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati, perkongsian peribadi pemiliknya telah disalah guna oleh beberapa pemilik blog termasuk beberapa halaman Facebook yang memetik tajuk dengan tujuan menyalahkan pihak tertentu sehingga menyebabkan kematian anak kepada penulis (Nurul Iqa).

“Susulan itu, Hospital Taiping mengambil inisiatif berjumpa dengan waris bayi berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan aduan mengenai Unit Kejururawatan di Jabatan Perubatan Pediatrik bagi tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Menerusi kenyataan Dr. Narimah, pihak Hospital Taiping berharap agar tiada lagi mana-mana pihak yang mengambil isu itu bagi tujuan tular dan memberi ruang kepada siasatan dapat dilakukan sewajarnya.

Menjengah hantaran yang dibuat oleh Nurul Iqa tersebut, wanita tersebut telah memuat naik pengalamannya sebanyak 21 perenggan yang menceritakan mengenai keadaan bayi lelakinya, Putera Muhammad Fayyaz Muhammad Jiman berusia 40 hari yang diletakkan di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) bermula dari tarikh lahirnya pada 23 Jun hingga 1 Ogos lalu.

Start (mula) dia sakit hari Rabu, oksigen dia mula drop (turun) dan susah sangat-sangat nak naik sebab dia dah penat, disebabkan kecuaian segelintir nurse (jururawat) yang menjaga dia, tak semua nurse cuai, hanya segelintir,” tulis Iqa pada perenggan ke-13 dalam hantaran tersebut.

Nurul Iqa juga didapati telah memuat naik satu lagi hantaran pada 3 Ogos lalu dengan menyatakan terdapat banyak lagi kecuaian yang telah dilakukan oleh pihak hospital tersebut sehingga membuatkan arwah anaknya itu menderita.