Hilang Kerja & Dihalau Dari Rumah Sewa, Wanita Cuba Terjun Kondo 32 Tingkat

Tekanan pada musim pandemik ini semakin dirasai oleh ramai penduduk Malaysia terutamanya bagi golongan yang kehilangan mata pencarian dan bebanan hutang.

Terbaru, seorang wanita yang tertekan diberhentikan kerja dan dihalau dari rumah sewa cuba terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium di Sungai Buloh, semalam.

Walau bagaimanapun, tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya memujuk dan menyelamatkan mangsa, lapor Harian Metro.

Menurut Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.52 malam.

“Seramai 19 anggota dengan satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi terdapat seorang wanita berada di tepi bangunan di tingkat 32 kondominium berkenaan dan cuba untuk membunuhdiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, pasukan penyelamat membuat persiapan dengan memasang tali keselamatan dan memujuk wanita terbabit ke tempat selamat.

“Mangsa didapati mengalami masalah peribadi kerana kehilangan kerja dan dihalau dari rumah sewa.

“Wanita terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.