Hilang 52kg Berat Badan, Michael Ang Tidak Suka Dengan Penampilan Sekarang

Pengarah dan penerbit, Michael Ang tampil dengan fizikal yang semakin langsing mengejutkan ramai peminatnya di laman Instagram.

Menerusi perkongsian foto terkini yang dimuat naik, pengarah drama terkenal Sweet Dreams itu berkongsi gambar terbaru keadaan dirinya.

Mahu naikkan semula berat

Menurut Michael Ang, beliau tidak berpuas hati dengan keadaan dirinya sekarang.

“Salam semua. Okay I think my losing weight thingy is getting out of hand. I need to gain back! I don’t like how I look now! Love you all and stay safe!” tulis Micahel di ruangan kapsyen.

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata peminat terkejut dengan penampilan baru Michael yang telah hilang sebanyak 52 kilogram (kg) selepas menjalani pembedahan bariatric sleeve pada tahun 2018.

Bariatric sleeve adalah satu pembedahan yang memotong 85 peratus perut dan dikeluarkan melalui lubang kecil yang ditebuk pada perut.

Ia menyebabkan makanan hanya boleh diambil dalam kuantiti kecil dan memberikan manfaat daripada sudut kesihatan termasuk mengatasi penyakit diabetes, sakit sendi dan sakit belakang.

Kaedah ini antara kaedah paling selamat untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan dengan kesan kegemukan ketara atau obesiti.

Dulu 128kg, kini 76kg

Michael Ang memberitahu berat badannya kini menyusut perlahan-lahan dari 128kg kepada 76kg.

“Dulu berat saya 128 kg, kini berat badan saya 76 kg. Semenjak melakukan pembedahan terbabit, berat badan saya mula turun secara perlahan-lahan.

“Sebenarnya, saya suka dengan berat badan saya yang dahulu. Saya tak kisah dengan keadaan badan yang agak gempal tetapi ketika itu saya mempunyai penyakit.”

Diet atau bedah

Pada awalnya Michael tidak kisah dengan berat badannya yang berlebihan, namun apabila ia memberi kesan terhadap kesihatannya barulah dia bersetuju melakukan pembedahan tersebut.

“Saya ada penyakit diabetes dan ‘sleep apnea’. Doktor memberikan dua cara untuk mengatasi masalah terbabit. Pertama, saya harus berdiet atau kedua, saya harus melakukan pembedahan itu.

“Dua tahun sebelum dibedah, saya sudah mencuba untuk mengamalkan diet tetapi sering gagal. Saya berjaya turun 5 atau 6 kg, tetapi selepas itu badan saya menghadapi kesukaran untuk menurunkan lagi bilangan berat.

“Akhirnya, saya membuat pembedahan terbabit. Hasilnya, saya tidak mengalami diabetes lagi, saya senang bangun pagi, rasa segar dan nafas saya tak mengah seperti dulu.

“Cuma, saya hanya boleh makan dalam kuantiti yang sedikit sahaja,”

Michael Ang sebelum ini terkenal dengan mengarahkan beberapa siri drama televisyen termasuk Dalam Hati Ada Taman, Projek Memikat Suami, Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr. Pilot, Rahsia Hati Perempuan dan Sweet Dreams.

Pada 30 April 2019, Michael mendedahkan secara mengejut bahawa beliau telah memeluk Islam kerana tidak mahu masyarakat mempersoalkan mengenai status agamanya.

Keputusan beliau untuk memeluk Islam mendapat restu ibunya