Harga Barang Dijangka Akan Naik Lagi, OPR Meningkat Buat Kali Ketiga Dalam Setahun

Kebelakangan ini, kos sara hidup nampaknya semakin meninggi dek inflasi yang berlaku di seluruh dunia. Baru-baru ini, telah berlaku peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sudahpun buat kali ketiga pada tahun ini.

Memetik laporan Sinar Harian, kenaikan harga barangan bakal dijangka berlaku ekoran peningkatan OPR yang telah dilakukan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim menyatakan bahawa kenaikan harga itu akan melibatkan barangan tertentu seperti makanan dan juga perkhidmatan.

Terang Faisol, Bank Negara Malaysia (BNM) sememangnya perlu menaikkan OPR buat kebaikan masa akan datang.

Hal ini demikian kerana bagi mengawal kadar inflasi yang lebih tinggi jika tidak berjaya dibendung dari awal.

“Jadi kerajaan terpaksa menaikkan kadar OPR. Apabila OPR dinaikkan, sudah pasti ia memberi impak kepada pengguna terutama melibatkan urusan pinjaman bank sebagai contoh kenaikan bayaran pinjaman kenderaan dan pinjaman perumahan.

“Peniaga dan pembekal yang terkesan dengan peningkatan OPR akan menaikkan harga barang dengan alasan terpaksa menanggung kos mahal sebagai contoh produk yang diusahakan industri kecil dan sederhana (IKS), selain harga ayam turut dinaikkan dengan alasan kos dedak meningkat.

“Mengapa harga dedak itu naik? Ia disebabkan pembekal yang berdepan kenaikan kadar faedah pinjaman bertindak menaikkan harga yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna yang terpaksa membeli barangan dengan harga jauh lebih mahal,” jelas Faisol berhubung dengan isu tersebut.

Difahamkan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan pada Khamis lalu untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ekoran peningkatan tersebut, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR juga telah dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Menurut beliau, satu skim atau mekanisme kawalan harga patut diwujudkan oleh setiap kementerian yang berkaitan.

Hal ini harus dilakukan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan kos barang keperluan dan barangan atau perkhidmatan lain yang bakal mengalami kenaikan harga.

“Sekiranya kerajaan melaksanakan inisiatif berkaitan dan mengawal harga barang maka kenaikan harga itu dapat dikawal.

“Sebagai contoh apabila harga ayam naik secara melampau, kerajaan boleh menetapkan harga syiling bagi memastikan tiada lagi berlaku kenaikan harga dan setiap peniaga perlu mematuhi harga siling sudah ditetapkan,” katanya.