[FOTO] “Bila Tiba Masanya Bersandinglah Semula” – Fazley Tunai Hasrat Arwah Bapa

Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menyifatkan persandingan semula dengan isteri Datin Azrene Soraya Abdul Aziz selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga sebagai menunaikan hasrat Allahyarham bapanya, Datuk Yaakob Mohammad.

Fazley dan Azrene bersama empat anak mereka pada hari persandingan mereka pada malam Selasa. Foto Instagram @fazleyyaakob

Fazley, 40, berkata, bapanya pernah berpesan agar mereka bersanding semula dan amanat itu sekali lagi disampaikan seminggu sebelum Allahyarham meninggal dunia pada 8 Februari 2016.


Fazley dan Azrene masuk ke dewan diiringi paluan kompang.

“Bapa pernah berpesan apabila tiba masanya bersandinglah semula dan wasiatnya itu turut diluahkannya sekali lagi kepada saya dan Azrene seminggu sebelum beliau meninggal dunia.

“Malah dia turut berpesan kepada Imran Ajmain yang dianggapnya sebagai anak agar memastikan hasratnya itu dilaksanakan.

“Majlis hari ini sebenarnya bukan sahaja meraikan ulangtahun ke-13 perkahwinan kami pada 7 November lalu tetapi juga menunaikan wasiat arwah,” katanya.

Fazley ditemui pada majlis persandingannya yang diadakan di Laman Lanai, Neo Damansara di sini pada malam Selasa.

Pasangan mempelai bergambar bersama ahli keluarga.

Kira-kira 350 tetamu terdiri daripada keluarga, kenalan rapat dan media hadir memeriahkan acara yang bertemakan tradisional moden itu.

Dalam pada itu, persembahan video istimewa ucapan bapa Fazley pada majlis persandingannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 13 tahun lalu menyentuh hati tetamu.

Video berdurasi lima minit itu memperlihatkan Yaakob memberi kata-kata nasihat kepada pasangan mempelai berkaitan dugaan berumah tangga.

Baju pernikahan dan persandingan pasangan itu 13 tahun lalu turut dipamerkan.

Selain itu, tayangan foto-foto majlis persandingan dahulu dipaparkan kembali sebagai kenangan manis yang dikongsi bersama penonton.

“Alhamdulillah, majlis hari ini berjalan lancar ditambah tiada yang lebih membahagiakan saya apabila persandingan semula ini dapat disaksikan oleh keluarga terdekat, sahabat handai dan hampir keseluruhan rakan media yang selama ini menyokong karier seni saya,” kata Fazley.

Fazley dan Azrene bagaikan pengantin ‘baharu’.

Terdahulu, Fazley dan Azrene memasuki dewan Laman Lanai kira-kira pukul 9 malam dengan dengan sut songket berwarna hitam rekaan Bon Zainal manakala isteri mengayakan gaun rekaan Fizi Woo.

Tiga anak lelaki pasangan ini turut mengadakan persembahan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada tiga anak mereka iaitu itu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8 dan Ahmad Fierudz, 7 selain nyanyian harmoni berjudul Jatuh-Jatuh Cinta daripada The Mirza selain paluan kompang.

Lebih bertambah manis, Fazley turut menyanyikan lagu popularnya berjudul Bila April yang ditujukan kepada Azrene ketika awal perkenalan mereka.

Fazley turut mengadakan persembahan.

Fazley dan Azrene bernikah pada 7 November 2005 dan perkahwinan itu penuh kontroversi apabila ibu Azreen iaitu Datin Seri Rosmah Mansor tidak merestuinya.

Azrene adalah anak Rosmah hasil perkahwinan dengan suami terdahulu iaitu Abdul Aziz Nong Chik.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya.

Sumber: DiariDunia