[FOTO] Berat Badan 110kg Turun Kepada 64kg, Transformasi Gadis Ini Buat Netizen Teruja

Setiap wanita pastinya mengimpikan bentuk badan yang ideal dan sihat. Begitu juga bagi gadis berusia 24 tahun ini, yang berkongsikan kejayaannya menurunkan berat badan sebanyak 46kg dalam masa setahun.

Perkongsian Afiqah Nadhirah mendapat perhatian di laman sosial Twitter apabila dia memuat naik foto sebelum dan selepas penurunan berat badan.

Kisah perjalanan sihat Nadhirah bermula pada tahun 2019 apabila beratnya menjangkau 110kg dan pernah mencecah sehingga 120kg pada tahun 2018.

Tak plan nak kurus

“Tak plan pun nak kurus. Waktu tu saya baru putuskan hubungan dan tak ada selera makan. Lepastu baru saya bertekad untuk turunkan berat badan dengan cara yang sihat.

“Bulan Ramadan saya mula eat clean dan pergi gim. Secara keseluruhannya makan masa setahun juga.  start bulan puasa tu I mula eat clean.

“Lagi satu motivasi kurus saya adalah saya nak nampak cantik. Saya suka dress up, pakai cantik-cantik.

“Jadi saya selalu bayangkan saya pakai baju cantik dan akan sedih kalau baju tu takde saiz saya atau saya tak cukup keyakinan sebab waktu tu saya plus size.

Suka pakai baju cantik-cantik

“Saya tahu ramai gadis plus size di luar sana yang cantik dan berkeyakinan tinggi. Masa tu saya cemburu juga tengok sebab saya tak ada keyakinan seperti mereka.

Tapi suka tengok mereka pakai baju cantik-cantik. Lepas saya mula komited untuk turunkan berat badan dengan amalkan bersenam dan eat clean, benda ni dah jadi sebahagian daripada gaya hidup yang saya suka,”

Amal diet Keto

Nadhirah berkongsi amalan pemakanannya yang bermula dengan diet Keto dan tidak mengambil sebarang karbohidrat dalam pemakanan.

“Selain tu, saya cuba banyak jenis diet sepanjang perjalanan kurus ni untuk lihat mana yang paling berkesan sekali. Sekarang saya makan dalam 3-4 kali sehari. Saya jarang makan nasi tapi saya tak halang pun sesiapa yang nak makan nasi. Setiap kumpulan makanan penting cumanya anda kena ambil yang sihat.

“Sarapan selalunya saya makan rolled oats dengan buah pisang atau beri. Lepas workout saya selalunya akan makan pisang dan mentega kacang satu sudu sebagai snek.

“Makan tengah hari bergantung pada mood, ada hari saya makan salad dengan dada ayam, telur dan tempeh atau pizza sihat guna wrap.

“Waktu cheat day saya selalu teringin benda manis! Tapi kadang cheat day la saya makan nasi terutamanya nasi lemak,” kongsi Nadhirah.

Netizen puji transformasi

“Hahah ramai cakap mata saya nampak garang dan macam nak makan orang. Mata saya memang semulajadi panjang!” balas Nadhirah.

Menurut Nadhirah, dia juga bersyukur dikelilingi orang yang sentiasa berfikiran positif sepanjang proses penurunan berat badan.

“Keluarga memang dah seumur hidup tengok saya berbadan besar, tapi mak paling terkejut. Sampai sekarang saya bekerja di Kuala Lumpur, mak selalu risau bila saya hantar gambar. Dia selalu risau saya tak cukup makan.

“Adik beradik memang bangga tengok perubahan siap tanya tips juga macam mana nak kuruskan badan.

“Kawan baik pun sampai sekarang tak sangka yang saya dah turun berat badan. Kadang-kadang diorang selalu mengusik hantar gambar lama-lama, saja throwback masa saya overweight.

“Bagi saya penting kita dikelilingi dengan orang yang memberikan sokongan sebab perjalanan ni susah. Walaupun susah, kita boleh laluinya bila ada sistem sokongan yang beri motivasi,” jelas Nadhirah lagi.

Harap jadi inspirasi

Pada awalnya Nadhirah tidak menyangka perkongsiannya akan menjadi tular dan dia berharap kisahnya boleh menjadi inspirasi kepada mereka ingin turunkan berat badan.

Nadhirah turut memberikan nasihat kepada semua agar jangan menyeksa diri dan jangan sesekali ambil jalan pintas seperti pil kurus.

“Nikmati perjalanan ni. Memang payah sebab anda akan berasa lapar, penat, berat tak turun seperti yang diharapkan dan ada waktunya kita hilang motivasi diri.

“Terus konsisten tapi jangan bandingkan perjalanan anda dengan orang lain. Fokuslah pada diri sendiri dan jangan putus asa. Yang paling penting, jangan lupa raikan setiap pencapaian. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka yang mahu mulakan perjalanan sihat ini,”

Rata-rata netizen memuji transformasi Nadhirah yang dilihat sangat berbeza dengan dirinya yang dahulu.