[FOTO] Anak Kambing Bermata Satu di Pasir Mas

Baru-baru ini telah tular gambar dua ekor anak kambing bermata satu di laman Facebook.

Pemilik kambing-kambing tersebut, seorang guru agama terkejut apabila melihat dua anak kambing yang baru dilahirkan hanya mempunyai satu mata di bahagian tengah muka.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, lapor Berita Harian.

Sahabudin Muhamad, 52, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila seekor daripada 11 kambingnya melahirkan dua anak kambing di dalam kandang berhampiran rumahnya.

Dia mendapati kedua-dua ekor anak kambing tersebut mempunyai hanya satu mata.

“Sebenarnya, dua anak kambing jantan itu dilahirkan seperti biasa cuma air ketuban pecah awal menyebabkan ia lambat dilahirkan dan lemas.”

“Sebaik dilahirkan saya terkejut melihat anak kambing itu mempunyai satu mata sahaja. Saya memelihara kambing sejak dua tahun lalu dan ini pengalaman pertama melihat anak kambing seperti itu,” katanya.

Menurutnya, sejak kisah mengenai kelahiran anak kambingnya itu tular di media sosial ramai pihak membuat pelbagai spekulasi.

“Apa yang terjadi ini kerja adalah aturan Allah, tidak ada kaitan dengan sebarang kejadian mistik dan sebagainya. Saya harap tiada pihak yang menokok tambah mengenai kelahiran kambing ini.”

Tambahnya, ramai orang telah menghubunginya untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.

“Ramai yang menghubungi saya bertanyakan hal ini dan saya cuba menerangkan sebaik mungkin supaya tidak berlaku salah faham,” katanya.

Walaubagaimanapun, anak kambing kembar jantan milik pengamal perubatan tradisional yang dilahirkan masing-masing mempunyai satu mata itu mati tidak lama kemudiannya.