Pesakit kronik, tiada harapan sembuh tidak lagi dihantar ke ICU – Exco Kedah

Seperti yang diketahui umum, jumlah jangkitan pandemik terus mencatatkan kenaikan dari hari ke hari dan dilihat semakin membimbangkan.

Rakyat disarankan untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mendapatkan rawatan jika tidak sihat.

Jumlah katil sangat terhad ketika ini

Jumlah jangkitan yang sangat tinggi melebih 6,000 dan jumlah kematian yang semakin tinggi turut menggusarkan rakyat ketika ini.

Pesakit kronik yang dianggap sebagai tiada harapan untuk sembuh tidak lagi dapat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di Kedah, berikutan jumlah katil sangat terhad ketika ini.

Pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU kerana penuh

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit positif.

Beliau berkata, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit yang disahkan positif yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

Pesakit kronik tiada harapan tidak dimasukkan ke ICU

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga.”

“Dalam sesetengah kes doktor terpaksa pilih yang mana perlu hantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia lagi ke ICU.”

Kita sebolehnya akan rawat semua pesakit

“Ini termasuk pesakit bukan kes pandemik, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi setengah kes.”

“Bagaimanapun, kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya.

Wad ICU sudah capai 92 peratus

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan hospital di Kedah dalam berhadapan peningkatan kes selepas Kedah mencatat kes tertinggi iaitu 445 kes semalam, selain penggunaan wad ICU dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Memetik laporan Harian Metro,  Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

Pesakit lain juga perlukan rawatan 

“Kita perlu ingat hospital bukan sahaja untuk merawat pesakit pandemik, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain.”

“Mereka juga perlu rawatan dan pembedahan, selepas dibedah mereka perlu dirawat di ICU terlebih dahulu.”

Kita tidak mahu katil ICU penuh

“Kita tidak mahu katil ICU penuh, jadi orang ramai perlu patuh SOP.”

“Jangan bersalaman dan bersembang dekat, saya tahu kita masih dalam suasana Aidilfitri, tetapi perlu berpada-pada,” katanya.

44 pesakit masih dirawat di ICU

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sehingga kini seramai 44 pesakit positif masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani manakala bakinya berada di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).”

41 orang berumur 50 tahun ke atas

“Daripada keseluruhan 44 individu yang dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia 50 tahun ke bawah, selebihnya berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan sembilan lokaliti di Bandar Darulaman serta Lubuk Kawah, Jitra akan membolehkan pihaknya melaksanakan pengesanan kontak rapat lebih terperinci terhadap kes berkaitan.

Saringan akan dibuat terhadap kumpulan sasar

Beliau berkata, saringan akan dibuat terhadap kumpulan sasar yang mungkin berisiko tinggi dan berpotensi meningkatkan penularan pandemik ini.

“Jumlah mereka yang disaring bergantung kepada pengesanan kontak rapat dilakukan kini.”

Kami akan fokus secara seimbang

“Di Kota Setar, kami dapati penularan pandemik ini kebanyakannya saling berkait antara satu mukim dengan mukim lain.”

“Namun kami akan memberi fokus secara seimbang terhadap semua mukim walaupun ada antaranya kini berstatus zon merah,” katanya.

Semoga semua rakyat mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Follow YOY Network di laman Instagram untuk pelbagai info dan video menarik!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by YOY Network (@yoynetwork)