Enggan Berlakon Babak Intim, Zahiril Adzim Tolak Tawaran Hollywood

Nama Zahiril Adzim dalam bidang perfileman, TV, penstriman dan teater sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Lakonan hebat dan penjiwaan watak yang dibawa oleh pelakon ini sentiasa dikagumi dan diminati ramai. Malah, dia juga pernah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian pada tahun 2018.

Terbaharu, Zahiril Adzim atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim bin Mohd Mokhtar ini mengakui pernah menolak tawaran berlakon dengan pihak Hollywood atas sebab-sebab tertentu.

Memetik sumber, pelakon ini mengatakan tawaran yang diterimanya itu memerlukan dirinya untuk melakukan aksi ranjang di atas katil. Sebagai seorang yang beragama Islam yang mengetahui batas dia telah menolak tawaran tersebut kerana terdapat unsur yang melanggar syariat.

“Saya pernah menolak tawaran lakonan dengan produksi Hollywood beberapa tahun lepas dan sudah lupa judulnya…”

“Baru sahaja membaca skrip, belum apa-apa sudah ada babak intim atas katil yang memerlukan saya dan pelakon wanita berbogel separuh badan. Terus saya ucap selamat tinggal,” katanya.

Zahiril juga tidak menafikan impiannya untuk mengembangkan nama dan bakat lakonannya ke luar negara jika diberi peluang. Walau bagaimanapun, dia enggan melawan hukum agama dengan melakukan babak intim dengan produksi Hollywood demi kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya bukanlah mengejar sangat Hollywood tetapi jika diberi peluang siapa yang tidak mahu namun jika kerja itu meminta untuk melawan hukum Allah, saya rela tolak,” ujarnya.

Menurut pelakon yang pernah membintangi filem KL Gangster: Underworld ini mengatakan seorang pelakon harus mengambil risiko menjayakan apa-apa sahaja demi watak. Zahiril Adzim juga menegaskan dia tetap dengan pendiriannya.

“Ya, seorang pelakon sepatutnya perlu lakukan apa sahaja demi watak. Bergantung kepada pelakon itu sendiri… bagaimanapun, saya ada agama dan prinsip sendiri. Saya tidak akan sesekali ketepikan perkara tersebut,” tambahnya lagi.

Sekadar info, Zahiril Adzim telah mendirikan rumah tangga dengan pengacara, pelakon dan wartawan, Shera Aiyob pada 20 November 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Nadi Anaqi.