Enam Tahun Kereta Ditinggalkan Berdebu Di Parking, Rupanya Milik Penumpang MH370

Persoalan dua buah kereta mewah yang ditinggalkan bertahun-tahun hingga berdebu di kawasan parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing akhirnya terjawab.

Kedua-dua kereta jenis Porsche dan Lexus itu dikatakan telah ditinggalkan di kawasan parkir tersebut selama enam tahun sejak peristiwa hitam MH370.

Menerusi laporan Vansky.com, caj parkir yang terkumpul oleh kereta tersebut telah mencecah sebanyak 80,000 yuan kerana hampir enam tahun terbiar di situ.

Sebelum ini, kelibat kedua-dua kereta tersebut sering menimbulkan persoalan ke atas orang ramai yang masuk dan keluar dari kawasan tempat letak kereta itu.

Netizen yang ingin tahu misteri di sebalik kereta itu telah bertindak membuat pemeriksaan berdasarkan maklumat nombor plat daripada kereta berkenaan dan hasilnya amat mengejutkan.

Berdasarkan daripada penemuan hasil pemeriksaan yang dibuat itu mendedahkan bahawa kedua-dua pemilik kereta berkenaan adalah merupakan antara penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur dan mendarat di Beijing pada 8 Mac 2014 lalu.

Pemilik kereta ini dipercayai telah meletakkan kereta mereka di kawasan parkir itu untuk pergi ke luar negara menaiki kapal terbang dan seterusnya kembali dengan menaiki pesawat MH370 tersebut.

Sekiranya tragedi tersebut tidak berlaku, mereka telah dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pada 8 Mac 2014.

Kedua-dua kereta tersebut dikhabarkan masih berada di kawasan parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dalam keadaan yang penuh berdebu sehingga hari ini.

Terdahulu, pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 orang itu terputus hubungan ketika berada 120 batu nautika di timur Kota Kinabalu di ruang udara Laut China Selatan.

Ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada hari yang sama.

Usaha awal pencarian dan penyelamatan bersama meliputi luas 30,000 km2 (12,000 bt2) di Teluk Thailand dan Laut China Selatan, (yang dikatakan terbesar dalam sejarah) telah dijalankan oleh sebelas buah negara yang telah menghantar sejumlah 34 buah pesawat dan 40 buah kapal untuk usaha ini.

Kawasan carian kemudian diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Pada 15 Mac, selepas laporan media bahawa penyiasat A.S. percaya pesawat tersebut berpatah balik ke barat melintasi Semenanjung Malaysia selepas kawalan trafik udara terputus hubungan dan sebuah satelit terus menerima “dencing” dari pesawat, usaha pencarian diperluaskan lagi ke Lautan hindi.