“Ejen sindiket akan mendekati selebriti..” Cuci Ratusan Juta Ringgit, SPRM Tahan Datuk Seri Bersama 4 Individu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Dalang rakyat China guna ejen di Malaysia

Sumber memaklumkan, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihkan’ wang hasil penipuan.

Memetik laporan Berita Harian, sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.

Ejen dekati selebriti tanah air suntik modal 

“Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan,” kata sumber berkenaan, semalam.

Walaubagaimanapun, kegiatan itu telah berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahan beberapa individu disyaki ada kaitan dengan jenayah berkenaan untuk siasatan.

5 individu disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram

Semalam, SPRM memperoleh perintah menahan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan.

Antara yang terlibat termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

“Seorang daripada mereka adalah lelaki yang dipercayai pengendali aktiviti Macau Scam dan menguruskan pusat operasi judi yang beroperasi dari kediaman mewah di negara ini dengan menyasarkan pemain di luar negara”.

Wang pelaburan dalam perniagaan dikendalikan beberapa selebriti tanah air

“Empat yang lain adalah sepasang suami isteri dan sepasang kekasih yang membantu suspek utama melaburkan wang dalam perniagaan dikendalikan beberapa selebriti tanah air,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan lebih lanjut oleh Unit Pengubahan Wang Haram, SPRM Putrajaya.

Semua suspek dipanggil termasuk selebriti tersebut

“Setakat ini pegawai penyiasat sedang menumpukan perhatian terhadap proses mengumpul maklumat daripada semua lima suspek dan akan memanggil saksi lain, termasuk selebriti tertentu,” katanya.

Sebelum ini, seorang selebriti bersama isterinya yang juga artis serta seorang usahawan dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram.