Doktor Tampar Kanak-Kanak Asma 3 Tahun, Enggan Beri Rawatan Dakwa Dimaki

Setiap industri pekerjaan memerlukan pekerja yang boleh bersikap profesional dan beretika tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing. Walau bagaimanapun, masih ada individu yang tidak mengamalkan sikap tersebut semasa menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Memetik laporan Thaiger, seorang doktor di Thailand telah menampar pesakit berusia 3 tahun disebabkan salah faham yang berlaku antara mereka.

Difahamkan, keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis selepas doktor berkenaan telah menampar dan enggan memberikan rawatan kepada kanak-kanak tersebut.

Dikatakan bahawa doktor tersebut berbuat demikian kerana dia menyangkakan kanak-kanak itu telah mencarut kepadanya.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Sutharat, 24, meluahkan cerita tersebut di satu halaman Facebook ‘Let Me Know If You Want to Be Famous Return Part 3’ baru-baru ini.

Sutharat menyatakan bahawa dia sendiri telah membawa anaknya itu ke hospital di Kam Paeng Saen disebabkan anaknya ketika itu sedang mengalami penyakit asma.

Ibu kanak-kanak terbabit menjelaskan pada ketika itu anaknya sedang duduk di ribanya sambil bermain dengan permainan ketika menunggu giliran untuk dirawat di dalam bilik doktor itu.

Akan tetapi, tiba-tiba permainan itu terkena pada mukanya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mencarut.

“S*al, benda ni kena mulut saya!” carut kanak-kanak tersebut.

Tanpa disangka-sangka doktor tersebut terus menampar kanak-kanak tersebut sehingga menangis disebabkan dia berang dengan carutan kanak-kanak itu.

Sutharat turut bertanya kepada doktor terbabit akan sebab mengapa dia berbuat demikian.

“Saya buat benda yang sama kepada anak-anak saya!” jawab kasar doktor tersebut sambil menyerahkan ubat nebulizer sebelum keluar daripada bilik rawatan.

Nenek kepada kanak-kanak tersebut pula mengambil langkah bertemu dengan doktor tersebut, bertanyakan sebab akan mengapa doktor tersebut berbuat begitu kepada cucunya itu.

Doktor terbabit menjawab bahawa dia menampar kanak-kanak itu disebabkan dia percaya kanak-kanak tersebut telah memakinya.

“Apa yang kau nak buat pada aku? Jangan dapatkan rawatan daripada aku! Tu pintu sana, keluar!” tengking doktor tersebut.

Selepas tular hantaran yang dibuat si ibu, doktor itu tampil menperjelaskan situasi yang berlaku iaitu cerita bagi pihaknya.

Dia telah mendakwa bahawa dirinya berang apabila mendengar kanak-kanak itu mencarut dengan namanya, “S*al, Dr. Tu!” bukannya carut mengenai permainannya itu.

Dr. Tu turut memaklumkan bahawa dia telah bekerja di hospital tersebut selama 25 tahun dan pernah mengalami perkara yang sama sebelumnya.

Kanak-kanak mungkin akan tercarut atau marah apabila mereka terkejut atau berada dalam ketakutan, akan tetapi kanak-kanak yang ditampar itu mencarut terus dengan namanya.

Dia mengaku apa yang telah dilakukannya itu salah, dan tidak bermaksud untuk menampar kanak-kanak tersebut.

Dia juga mendakwa bahawa dia mungkin bertindak sedemikian kerana keluarganya baru sahaja pulih daripada penyakit COVID-19.

Dr. Tu menyatakan bahawa dia ingin sekali berjumpa dengan keluarga kanak-kanak terbabit dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan olehnya.