“Dia tersenyum sepanjang perjalanan” Baru 3 Hari Bernikah, Isteri ‘Pergi’ Buat Selamanya

Kita mendengar khabar duka mengenai insiden yang berlaku di Lebuhraya Plus yang telah mengorbankan dua nyawa dan beberapa orang yang terlibat telah cedera dalam insiden itu.

Insiden itu berlaku di Kilometer 317, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Tapah.

Lebih menghibakan adalah apabila salah seorang yang terkorban adalah penumpang yang menaiki Myvi turut disahkan terkorban.

Mangsa dikatakan baru sahaja melangsungkan pernikahan pada sabtu lalu.

Mangsa adalah Salwati Yaakob, 28, bersama suaminya, Azman Syah Gusti, 28, serta seorang rakannya, Radhiah Sumeli, 28.

Mereka dalam perjalanan menaiki Perodua Myvi dari Kuala Kedah ke Sungai Buloh untuk majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijadualkan pada 23 dan 24 November ini.

Menurut Azman Syah sebelum kejadian isterinya banyak tersenyum dan mengatakan suka melihatnya ketika dia memandu.

“Isteri saya suka tersenyum dan suka melihat saya (semasa saya memandu) sepanjang perjalanan”, ujarnya kepada Berita Harian

“Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lepas, namun saya reda walaupun sedih dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah di sini, hari ini.

Selain itu, Azman turut cedera di jari kanan dan rakan mereka Radhiah dikatakan patah kaki kiri dalam insiden kira-kira jam 11 malam itu.

Bercakap mengenai persiapan majlis, pihaknya telah menyediakan semuanya termasuk bapanya sudah menempah lembu serta lebih 500 kad undangan sudah diedarkan.

Ibu mangsa, Zaimah Hamim, 46, berkata, anak sulungnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum bertolak pulang ke Selangor pada petang semalam.

“Kami berborak seperti biasa sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur, tidak nampak apa-apa perubahan pun,” ujar ibu mangsa.

Rosli Abdul Majid 52 yang merupakan pemandu treler berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor untuk menghantar barang.

“Kemalangan awal berlaku antara lori penghantaran barangan pos dengan Perodua Myvi serta satu lagi lori yang kemudian meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku”.

“Saya cuba mengelak namun kenderaan hilang kawalan sebelum merempuh Mitsubishi Pajero mengakibatkan pacuan empat roda itu terhimpit antara treler saya dengan lori penghantaran barangan pos,” katanya ketika ditemui di lokasi insiden.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan secara keseluruhan lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu membabitkan 14 mangsa semuanya dengan dua maut manakala tiga cedera dan sembilan lagi terselamat.

Menurut beliau lagi, kenderaan yang terbabit adalah treler muatan kertas, lori penghantaran barangan pos, treler muatan gula, Mitsubishi Pajero, Perodua Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lagi kenderaan yang belum dikenal pasti.

Katanya, mangsa yang maut adalah penumpang hadapan Perodua Myvi, Salwati Yaakob, 28, dan penumpang belakang Mitsubishi Pajero, Beh Xiu Zhung, 5.