“Dia satu-satunya anak kakak saya,” Tidur Dalam Kereta di Stesen Minyak, 3 Rakan Maut

Tiga orang penuntut kolej maut manakala seorang lagi rakan mereka kritikal akibat lemas terhidu gas karbon monoksida.

Kesemua mangsa dikatakan tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, di sini, pada Khamis.

Mereka berempat memang kawan baik

“Mereka berempat memang berkawan baik dan merancang ke Pulau Jerejak untuk menghabiskan cuti umum, namun tidak sangka perkara seperti ini berlaku,” kata Nor Jamilah Ahmad, 30-an, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha Syed Fathi.

Difahamkan, Sharifah Fariesha ditemui maut di dalam kereta dinaiki bersama rakannya, Ayuni Shazwanie Shabri dan pasangan kembar Nor Adilah Mohd Safwan serta Nor Aqilah.

Terhidu karbon monoksida

Kesemua mereka berusia 21 tahun di kawasan tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Samagagah, Seberang Jaya, awal pagi tadi dipercayai terhidu karbon monoksida.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ayuni Shazwanie dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Manakala dua beradik kembar berkenaan kritikal dan masing-masing dihantar ke Hospital Lumut serta Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Mereka ke Pulau Jerejak

Nor Jamilah berkata, ibu Sharifah Fariesha memaklumkan anak saudaranya itu ke Pulau Jerejak bersama tiga rakan baiknya.

“Ketika itu, ibu Sharifah Fariesha menghubungi saya memberitahu anaknya tidak pulang lagi dan tidak membalas mesej WhatsApp atau panggilan telefon” lapor Berita Harian.

Kesemua mangsa tidak sedarkan diri

“Selepas itu, ibunya menghubungi pula tunang anaknya dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa Sharifah Fariesha ditemui tidak sedarkan diri bersama tiga rakannya yang keempat-empat mereka dibawa ke hospital”.

“Apabila saya sampai ke hospital, dimaklumkan anak saudara meninggal dunia, ia amat mengejutkan apatah lagi dia adalah satu-satunya anak kepada kakak saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.

Pemandu mengalami sakit kepala

Jelas Nor Jamilah, beliau difahamkan Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey mengalami sakit kepala dan memberhentikan kenderaan di stesen minyak berkenaan untuk berehat serta membeli makanan.

Ujarnya lagi, beliau mendapat maklumat itu daripada bapa seorang mangsa yang keluar mencari anaknya itu dan menerima mesej pemandu kereta berkenaan sakit kepala dan berhenti rehat.

“Malam sebelum kejadian kami juga sempat berbual melalui panggilan video dan dia memaklumkan perancangannya untuk keluar bercuti dengan rakan-rakan baiknya.”

Seorang lagi meninggal dunia

Terbaru, seorang daripada adik-beradik kembar yang kritikal selepas terhidu karbon monoksida ketika berehat dalam kereta di sebuah stesen minyak di sini awal pagi tadi, meninggal dunia petang ini.

Ini menjadikan tiga mangsa meninggal dunia dalam kejadian jam 1 pagi itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, polis dimaklumkan oleh ibu mangsa berkenaan, anaknya Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut jam 4.23 petang tadi.

Katanya, pasangan kembar Nor Adilah, Nor Aqilah pula masih dirawat di ICU Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.