CIMB Bagi 6 Bulan Cuti Bersalin, Bapa Dapat Cuti 1 bulan

Beruntung lah kakitangan terutamanya perempuan, bagi sebuah bank tersohor di negara kita iaitu bank CIMB.

Baru-baru ini, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) telah mengumumkan faedah cuti bersalin selama enam bulan bergaji bagi kakitangan yang pertama kali bergelar ibu, lapor Berita Harian.

Ia berkuat kuasa pada 1 Januari lalu untuk semua pekerja CIMB di Malaysia.

Faedah berkenaan adalah tambahan kepada cuti selama sebulan yang diberikan untuk kakitangan CIMB yang pertama kali menjadi bapa.

Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, tempoh cuti berkenaan boleh diambil kira-kira 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

“Mereka yang pertama kali bergelar ibu boleh menikmati faedah ini 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin. Malah, ia boleh dilanjutkan dengan mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan yang turut ditawarkan kepada kakitangan bagi membolehkan mereka menjaga anak sulung sehingga berusia setahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, faedah yang ditawarkan ini adalah sebahagian daripada pendekatan holistik Kumpulan dalam menguruskan modal insan.

“Kami percaya setiap individu mempunyai keperluan berbeza dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kami juga percaya faedah yang diberikan dapat memupuk budaya keibubapaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada.”

Bagi CIMB, mereka mementingkan budaya keibubapaan untuk kakitangan mereka tanpa perlu meninggalkan kerja.

“Malah, kami juga meneroka kemungkinan melanjutkan manfaat ini kepada semua kakitangan di seluruh kumpulan,” katanya.

Selain manfaat cuti bersalin bergaji, CIMB turut menjalankan inisiatif lain dalam menyokong keperluan keluarga kakitangannya termasuk memberi kelonggaran kakitangan yang mempunyai anak berusia kurang lima tahun atau berkeperluan khas untuk bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.

Usaha yang murni daripada bank ini seharusnya dijadikan contoh buat semua syarikat swasta bagi memberi semangat kepada ibu yang baru menerima cahaya mata.

Untuk rekod, syarikat di Malaysia wajib memberikan cuti bersalin kepada pekerja mengikut bahagian 9 Akta Kerja 1955 dibincangkan tentang Perlindungan Bersalin serta syarat-syarat perlindungan bersalin dari seksyen 37 hingga 44.

Cuti bersalin bergaji (Paid Maternity Leave) adalah hak pekerja wanita dan ia adalah bagi tempoh tidak kurang 60 hari berturut-turut. (Seksyen 37 Akta Kerja 1955)

  • Perkataan digunakan adalah ‘wanita‘ sahaja, maka ia terpakai kepada pekerja wanita samada berkahwin atau tidak berkahwin.
  • Cuti bersalin tidak boleh bermula lebih awal daripada tempoh 30 hari sebelum bersalin (confinement)  seseorang pekerja wanita. (Seksyen 37 (b) AK 1955)
  • Cuti bersalin tidak boleh lewat daripada hari berikutnya selepas seseorang pekerja wanita itu bersalin (confinement). (Seksyen 37 (b) AK 1955)
  • 60 hari berturut-turut adalah termasukhari rehat, cuti sakit, cuti umum dsb. Jika terdapat cuti umum semasa cuti bersalin di ambil, bermakna tiada cuti gantian atau tambahan untuk pekerja.