Berjaya Terima Ijazah ‘Master’, Dato Fazley Yakoob Mahu Jadi Contoh Kepada Anak

Had umur sememangnya bukanlah satu halangan untuk seseorang individu sentiasa menimba ilmu dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi di universiti.

Iospital phone repair gombak

Sama juga ceritanya dengan seorang pelakon, penyanyi dan chef selebriti terkenal Fazley Yaakob yang telah berjaya menamatkan pengajian ‘master’ dalam bidang pengurusan perniagaan di Asia E University (AEU) ahad lalu.

Bukan itu sahaja, dalam masa yang terdekat dia juga memaklumkan bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah.

Memetik laporan mStar, Fazley Yaakob atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob mengatakan dia tidak pernah berputus asa untuk terus belajar kerana sering berpegang kepada janji yang pernah dibuat kepada allahyarham bapanya.

Malah pelantun lagu Asmara Ini juga berharap apa yang dilakukan olehnya dapat menjadi contoh buat anak-anaknya.

“Saya pernah menyaksikan arwah bapa menerima sarjana di Amerika Syarikat sekitar tahun 1989, ketika itu saya berjanji dengannya akan terus mengejar ilmu sehingga ke peringkat tertinggi. Apa yang saya lakukan ini juga sebagai contoh kepada anak-anak dan majlis konvokesyen saya pun anak sulung turut menghadirinya. Saya beritahunya inilah hasilnya jika belajar bersungguh-sungguh…” katanya.

Walau bagaimanapun, Fazley mengakui pernah berdepan dengan cabaran serta dugaan sepanjang tempoh pengajiannya apabila terpaksa mengambil cuti belajar untuk menguruskan hal keluarga.

“Sebelum menyambung pengajian di AEU, saya sudah mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) namun terpaksa mohon cuti belajar disebabkan mahu menguruskan hal keluarga..”

“Selain itu saya ada perniagaan dan kerjaya dalam bidang masakan… jadi memang banyak dugaan sepanjang tempoh belajar tetapi syukur dengan bantuan penyelia, saya berjaya tamatkan pengajian… bagi yang mengenali saya tahu bahawa saya seorang yang gemar belajar dan mencari ilmu, tidak kira bidang atau jurusan apa asalkan ada peningkatan ilmu…” ujarnya lagi.


Meskipun bergelar seorang bapa dan suami namun Fazley tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dalam pada itu, dia sering menghabiskan masa dengan perkara yang baik seperti bersenam.

“Saya akan pastikan jadual disusun dengan baik. Selepas menghabiskan masa untuk gimnasium atau latihan muay thai, barulah saya akan lakukan kerja harian. Saya juga akan pulang rumah awal sebelum anak-anak semua masuk tidur. Semua harus berjalan lancar dan disebabkan itu disiplin tinggi amat diperlukan…” tambahnya lagi.