Bergaduh Ketika Main Futsal, Remaja Ditahan Gunakan ‘Buku Lima’ Sebagai Senjata

Tidak dinafikan bahawa aktiviti bersukan merupakan aktiviti yang sihat untuk kita amalkan. Namun begitu, ada segelintir individu yang tidak mampu mengawal amarah ketika melakukan aktiviti bersukan ini.

Menerusi laporan Harian Metro, terbaru berlakunya satu pergaduhan ketika bermain futsal antara remaja di Tasik Tambahan, Ampang.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku disebabkan muncul perasaan tidak puas hati semasa bermain futsal sehingga mengakibatkan seorang pelajar lelaki cedera di badan dan tangan dalam kejadian tersebut.

Kira-kira pukul 5 petang kelmarin, remaja berusia 17 tahun ditumbuk oleh seorang suspek berusia 17 tahun menggunakan ‘buku limanya’ sebagai senjata.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak menyatakan bahawa siasatan mendapati mangsa dan rakan sekolahnya sedang bermain futsal dengan satu kumpulan daripada sekolah lain.

“Semasa permainan, mangsa melihat salah seorang pemain dari pasukan lawan membuat serangan di bahagian kaki menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek yang juga rakan kepada pemain itu kemudian menghampiri mangsa sambil memegang buku lima, lalu menumbuk bahagian rusuk kiri dan siku mangsa.

“Suspek sama juga dikatakan cuba menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik oleh mangsa,” jelas Mohamad Farouk berhubung insiden berkenaan.

Berdasarkan laporan yang telah dibuat, sepasukan polis segera bertindak bergerak ke lokasi kejadian bagi menahan suspek serta merampas satu rantai basikal yang telah diubah suai.

Tambah Mohamad Farouk, semakan yang telah dibuat oleh pihak polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih bersekolah.

“Siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah disebabkan tidak berpuas hati kerana menendang kaki semasa bermain futsal,” ulas lanjut beliau.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan disebabkan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat, atau kedua-duanya sekali.

Sekadar info, bulan Julai yang lalu turut berlaku satu insiden pergaduhan yang lebih kurang sama iaitu seorang lelaki bertindak menumbuk rakannya gara-gara tidak berpuas hati kerana dikasari ketika bermain futsal di Bakar Arang, Sungai Petani.

Oleh hal demikian, kita hendaklah sentiasa cuba mengawal diri agar dapat mengelakkan diri daripada bertindak di luar kawalan sehingga boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang lain.