Bekas Ratu Cantik Mengaku Tidak Bersalah Ambil Dadah, Tumbuk Polis Di SJR

Seorang bekas ratu cantik berusia 29 tahun sebelum ini dipercayai telah bertindak mengasari anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR).

Memetik laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Persekutuan dan bekas ratu cantik ini telah ditahan.

Wanita berkenaan dalam keadaan mabuk dan di luar kawalan

Difahamkan kejadian sekitar 3.00 pagi itu memperlihatkan wanita berkenaan dalam keadaan mabuk dan bertindak di luar kawalan.

Terbaharu, bekas ratu cantik itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan.

Bekas ratu cantik itu berdepan dua pertuduhan

Bekas ratu cantik yang dikenali sebagai Kohinoor Damodaran Kaittiani berdepan dengan dua pertuduhan.

Beliau didakwa mengasari anggota polis semasa di SJR dan mengambil dadah di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Gunakan kekerasan bagi takutkan anggota polis

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dituduh menggunakan kekerasan bagi menakutkan anggota polis dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan pada 8 Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda.

Bekas ratu cantik itu mohon rayuan

Manakala, bagi pertuduhan kedua ialah menggunakan dadah jenis Tetrahydrocannabinol pada tarikh yang sama.

Kesalahan ini memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Bekas ratu cantik itu memohon rayuan diberikan ikat jamin atas alasan perniagaan restoran miliknya terpaksa ditutup disebabkan pandemik Covid-19.

Mahkamah benarkan ikat jamin

Susulan itu, pihak mahkamah telah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang disebutkan tadi. Kes ini akan dibicarakan semula pada 6 Oktober nanti.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap kisah ini menjadi pengajaran buat semua.