Bekas Pesakit COVID-19 Sumbang RM150 Ribu Untuk Bantu Mangsa Wabak

Pada awal bulan Mac, syarikat UDA menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positif COVID-19.

Salah seorang daripadanya adalah Rosli Dahlan yang merupakan seorang peguam dan juga Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings.

Menerusi satu perkongsian YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rosli Dahlan telah sembuh sepenuhnya dari jangkitan koronavirus tersebut.

“Hari ini, saya menerima kunjungan saudara Rosli Dahlan, seorang peguam yang juga Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA) yang telah sembuh daripada jangkitan COVID-19.”

Malah menurut PM, Rosli Dahlan telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM150,000 untuk Tabung COVID-19 bagi membantu mangsa wabak.

“Saya berasa bangga apabila bekas pesakit COVID-19 yang telah disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mengambil peranan membantu mangsa wabak tersebut.

“Beliau yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA telah menemui saya untuk menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM150,000 daripada pihak yayasan.”

PM juga memberitahu di mana UDA telah bermurah haru menyumbang untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa buah hospital.

“UDA telah bermurah hati menyumbang untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa buah hospital, bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan April.

“Saya difahamkan, ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terlibat membantu projek vaksin serum darah. Sekiranya projek ini berjaya, mereka ini akan menjadi penyelamat.

“Jika seluruh dunia boleh bersatu melawan COVID-19, maka saya berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya.”